Aisyah sedang berbicara dengan suaminya.

“Wahai suamiku yang tersayang. Marilah ke mari dekat dengan isterimu.”

Amir merapati isterinya.

“Wahai isteriku, penyejuk mataku. Ada sesuatu yang Aisyah ingin khabarkan kepada abang?”

Aisyah berkata,

“Abang, sayang ada dua berita untuk abang. Satu berita baik dan satu berita buruk. Berita manakah yang perlu Aisyah beritahu terlebih dahulu?”

Amir menjawab,

“Sayang beritahulah abang dengan berita buruk terlebih dahulu. Insya Allah, abang akan bersabar dengannya dan mudah-mudahan berita yang baik kemudiannya akan menghilangkan kesedihan daripada berita buruk ini.”

Aisyah berkata,

“Abang, jodoh pertemuan dan ajal maut adalah milik Allah. Kita telah disatukan dengan ikatan nikah. Sekarang, hanya kematian sahaja yang belum memisahkan kita. Bersabarlah abang, Aisyah ada penyakit yang boleh membawa maut dan Aisyah mungkin akan hidup untuk sembilan bulan sahaja lagi.”

Amir terkejut. Air matanya menitis dan dia berkata,

“Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita akan kembali. Penyakit apa yang menimpa sayang?”

Aisyah menjawab,

“Penyakit ini amat berbahaya. Ramai yang telah mati disebabkan oleh kesakitannya.”

Amir berkata,

“Sayang, esok kita pergi hospital sekali lagi dan kita akan jumpa dengan doktor yang pakar.”

Aisyah menjawab,

“Abang, adakah abang akan bersedih kalau Aisyah mati? Adakah abang akan berkahwin lagi selepas kematian Aisyah?”

Amir menjawab,

“Sayang, abang tidak puas lagi mahu bermanja dengan sayang. Esok, kita akan terus ke hospital. Kita akan berusaha untuk mengubatinya.”

Aisyah menjawab,

“Abang, penyakit yang sayang hadapi ini tiada ubatnya. Namun begitu, cinta dan kasih sayang yang abang berikan buat Aisyah sudah cukup untuk dijadikan ubat. Abang terlalu bimbangkan Aisyah sehingga terlupa akan berita gembira yang Aisyah ingin sampaikan.”

Amir berkata,

“Berita gembira? Abang tahu, penyakit ini mesti ada ubatnya. Itukah berita gembira daripada Aisyah?”

Aisyah menjawab,

“Semoga berita gembira ini akan membahagiakan abang. Abang, Aisyah sedang mengandung sebenarnya.”

Amir terdiam seketika seakan-akan tidak percaya. Amir berkata,

“Aisyah mengandung? Betulkah Aisyah mengandung? Bagaimana dengan penyakit tadi wahai Aisyah? Adakah penyakit itu hanyalah gurauan semata-mata?”

Aisyah tersenyum.

“Abang, Aisyah telah disahkan mengandung oleh doktor. Penyakit tadi bukan gurauan, tetapi berita yang benar. Bukankah kesakitan semasa bersalin nanti boleh menyebabkan kematian?”

Amir tersenyum.

“Abang amat bimbang tentang penyakit itu tadi. Kalau kesakitan semasa bersalinlah yang sayang maksudkan, abang sudah jumpa ubatnya.”

Aisyah bertanya,

“Apakah ubat itu wahai suamiku?”

Amir menjawab,

“Abang akan menjaga sayang sewaktu sayang mengandung dan abang akan berada di sisi sayang ketika tibanya saat untuk sayang melahirkan anak kita.”

Aisyah tersenyum dan berkata,

“Semoga Allah merahmati kandungan ini dan mempermudahkan segala urusan kita.”

Amir mengaminkan doa isterinya.

“Amin, semoga doa sayang akan dimakbulkan oleh Allah.”

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."

Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.