Fakta 1: Orang Jepun menghabiskan separuh daripada hayat mereka di dalam kereta api.

Fakta 2: Orang Malaysia pula menghabiskan separuh daripada hayat mereka di dalam kenderaan, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Fakta 3: Kedua-dua fakta di atas, tidak dapat disahkan betul ataupun tidak. Fakta ataupun auta, terpulanglah kepada kita untuk menilainya.

Fakta tambahan: Orang Jepun bukan sahaja menghabiskan separuh daripada hayatnya di dalam kereta api, tetapi ada yang terus menamatkan seluruh riwayat hidupnya dengan gilisan kereta api. Kadar bunuh diri di landasan kereta api di Jepun begitu tinggi sekali. Masya Allah.

Masih lagi berkaitan dengan kereta api. Jika kita menaiki tren untuk satu-satu perjalanan, apakah yang kita lakukan di sepanjang perjalanan?

Tidur?

Tengok telefon bimbit?

Buka Facebook menerusi iPhone?

Tuan-tuan pasti kenal dengan A. Samad Said, sasterawan negara kita. A. Samad Said, ataupun gelarannya Pak Samad, adalah pengguna tegar LRT. Pejuang bahasa dan orang yang hebat seperti beliau, mindanya sentiasa mengatasi kelajuan LRT. Dalam LRT sekalipun Pak Samad mampu berkarya.

Tuan-tuan, selalukah kita membaca dalam kenderaan?

“Alamak, saya peninglah kalau membaca dalam kenderaan.”

“Susahlah nak membaca dalam kenderaan. Kena berasak-asak dengan orang ramai, langsung tak selesa.”

TIADA PAKSAAN UNTUK MEMBACA.


Kalau pening, usah menyeksa diri untuk membaca dalam kenderaan.

Kalau tidak selesa, usah memaksa diri untuk membaca dalam kenderaan.

Buatlah sesuatu yang bermanfaat. Kalau tidak dapat membaca, kita masih boleh mendengar lagu ataupun menghayati rakaman suara majlis-majlis ilmu.

Kalau bertembung dengan rakan, boleh sahaja kita berbicara dengan mereka dan menghubungkan jalinan ukhuwah.

Perhatikan juga ragam manusia yang penuh variasi atau cucilah mata kita dengan pemandangan yang memaparkan keagungan Allah dan kita berlindung dengan Allah daripada pemandangan maksiat.

Jadikan setiap perjalanan kita sentiasa penuh dengan perkara yang bermanfaat. Kita ini orang Islam, khalifah Allah di muka bumi ini. Tanggungjawab yang kita pikul lebih banyak daripada masa yang kita ada.

Tiada lagi perjalanan yang membosankan untuk kita selepas ini. Tiada lagi istilah bosan dalam hidup kita. Membaca akan menghapuskan kebosanan dan menghidupkan jiwa.

Yang paling penting, marilah kita mulakan setiap langkah perjalanan kita dengan penyerahan diri kepada Allah.

Untuk kita yang tiada masalah atau alahan untuk membaca dalam kenderaan, marilah kita sama-sama membudayakan amalan membaca.

Membaca adalah satu kepuasan, membaca adalah satu kenikmatan.

“Saya adalah pembaca buku yang tegar.”

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani