Wah, skrip belanjawan negara tak ubah seperti novel. Sedap bahasanya. Dapatkah kita memahami segala isi kandungannya?

Tak apa, kita tunggu sahaja ulasan daripada pakar. Benda yang sukar, kita serahkan kepada pakar.

Belanjawan negara juga tak ubah seperti novel yang mengisahkan betapa kasihnya seorang suami kepada isteri.

“Belanjawan ini adalah bukti betapa kasih dan cintanya kanda kepada dinda. Bolehlah dinda shopping sepuas-puas hati selepas ini. Kanda sudah hapuskan cukai untuk seluar dalam, beg tangan, pewarna rambut, kasut dan macam-macam lagi. Kanda juga akan bagi RM 111 juta untuk program PERMATA dinda. Dinda kan permata hati kanda.”

Seterusnya, ini pula ulasan tentang belanjawan negara dari perspektif bahasa, bukannya angka dan nombor. Angkanya berjuta-juta, malah berbilion-bilion, bisa pening mata kita melihatnya. Bahasa yang digunakan pula begitu indah dan mampu menyihir telinga dan hati kita yang mendengarnya.

Pembuka bicara belanjawan kali ini memang mantap, dimulakan dengan terjemahan al-Quran, surah al-Qasas, ayat 77. Lagi tambah berpengaruh jika Dato’ Sri Najib mengalun dan melagukan ayat Quran itu, sebagaimana bacaan imam dalam solat. Bukankah Perdana Menteri adalah imam bagi rakyatnya?

Elok juga sekiranya Dato’ Sri Najib mengingatkan para menteri dan rakyat jelata supaya bertakwa kepada Allah, agar gentar hati mereka, sesiapa yang berniat jahat mahu merompak perbendaharaan negara.  Dato’ Sri sebutlah,

“Ittaqullah, bertakwalah kamu kepada Allah.”

Ala, macam yang Dato’ Sri selalu ucap, eh, selalu dengar dalam khutbah Jumaat.

Banyak kosa kata baru yang digunakan dalam belanjawan ini. Susah juga untuk difahami maksudnya, dan Kamus Dewan amat membantu.

Contohnya;

Tuna wisma: Orang yang tidak mempunyai rumah

Sukuk: Istilah kewangan Islam, sama maksud dengan bon

Teknopreneur: Usahawan dalam bidang teknologi

Imperatif: Penting, mesti dipatuhi

Emolumen: Gaji

Ayat-ayat yang diungkapkan juga amat sedap, manis untuk dijadikan halwa telinga. Biasalah, mahu menawan hati kekasih, ayat romantis dan ayat puitis wajib diluahkan. Belanjawan pula untuk memancing undi rakyat, mata dan telinga mereka perlu disihir dengan kata-kata yang indah dan muluk.

Contohnya;

“Saya akan meletak bata-bata pengmuktamad serta memahat paku-paku pelengkap sekaligus menaikkan layar Bahtera Malaysia menuju ufuk negara maju.”

“Kerajaan telah mempersiapsiagakan ceracak-ceracak yang kukuh sebagai asas lonjakan seterus kepada perjalanan Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.”

“Perubahan bukan lagi satu opsyen. Ia satu imperatif. Berubah atau kita ketinggalan.”

“Dalam nafas yang sama, pasaran modal Islam akan terus diunggulkan.”

Dan banyak lagi ungkapan yang indah untuk dinikmati. Hanya orang yang mendengar dan membacanya sendiri akan merasai nikmatnya.

Molek juga andai pembentangan Dato’ Sri diakhiri dengan doa agar segala perancangan dipermudahkan oleh Allah. Mudah-mudahan tiada penyelewangan atau ketirisan belanjawan yang berlaku. Doakan juga agar para perompak perbendaharaan negara segera insaf atau ditimpa bala celaka ke atas mereka.

Semoga Allah melindungi para pemimpin yang adil, merahmati rakyat jelata dan memberikan kenikmatan serta kerahmatan kepada negara kita, Malaysia.

Amin…

Teks lengkap belanjawan 2011 boleh dibaca menerusi link ini:

http://www.sc.com.my/bm/html/tpkpengetahuan/bajet2011/Ucapan_Bajet2011.pdf

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."

Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.