Amir dan Aisyah berada di meja makan. Aisyah menghulurkan nasi kepada suaminya.

“Abang,  jemputlah makan.”

Amir menyambut pinggan daripada isterinya dan diletakkan di hadapannya. Dia menadah tangan dan berdoa,

“Ya Allah, berkatilah rezeki yang engkau kurniakan kepada kami dan jauhkanlah kami daripada azab neraka.”

Aisyah mengaminkannya.

“Amin, semoga Allah memakbulkan doa kita. Abang, biar sayang ambilkan lauk untuk abang. Resepi malam ini istimewa untuk abang, suami Aisyah yang tersayang.”

Aisyah meletakkan lauk ke dalam pinggan suaminya.

“Rasalah masakan sayang. Sayang minta maaf kalau ada yang terlebih atau terkurang di mana-mana.”

Amir tersenyum dan merenung nasi di hadapannya.

“Kenapa abang tidak makan? Abang tengok sahaja nasi itu.”

Amir hanya tersenyum dan merenung lagi nasi di hadapannya.

“Abang rasa masakan sayang tidak sedapkah?”

Amir tersenyum dan berkata kepada isterinya,

“Sayang, abang tiada selera mahu makan.

Aisyah terkejut dan bertanya kepada suaminya,

“Abang tidak sihat?”

Amir masih lagi tersenyum dan berkata,

“Abang sihat, tetapi tiada selera untuk makan. Sebabnya, sayang tidak suapkan untuk abang.”

Aisyah tersenyum mendengar kata-kata suaminya.

“Patutlah abang tiada selera mahu makan. Mahu suapan kasih daripada isteri rupa-rupanya.”

Aisyah mengambil lada yang berwarna merah terang .

“Mari Aisyah suapkan untuk abang.”

Amir tergelak sambil memalingkan mukanya ke arah sisi. Aisyah turut sama tergelak.

“Sayang tidak kasihan kepada abang? Lada itu pedas.”

Aisyah masih lagi tergelak.

“Abang tahu? Kalau sayang yang suapkan, lada yang pedas pun jadi manis. Itulah ajaibnya suapan kasih seorang isteri. Abang cubalah, lada ini manis rasanya. Mari sayang suapkan sekali lagi. Abang jangan mengelak pula.”

Amir membalas celoteh isterinya.

“Sayang tahu? Ada lagi yang lebih manis daripada lada itu. Bahkan lebih manis daripada madu.”

Aisyah tertanya-tanya.

“Apakah benda itu, wahai suamiku sayang?”

Amir mengambil lada di tangan Aisyah dan meletakkannya semula ke atas meja.

“Isteri abanglah yang paling manis.”

Aisyah tersenyum.

“Pandai betul abang mengembirakan hati Aisyah. Kalau macam ini, hari-hari kita bercinta di meja makan pun Aisyah sanggup. Mari Aisyah suapkan nasi untuk abang.”

Amir memandang isterinya dan berkata,

“Aisyah tidak akan suapkan lada untuk abang, bukan?”

Aisyah tergelak, kemudian Aisyah menyuapkan nasi untuk suaminya. Selepas itu, Amir pula yang menyuapkan makanan untuk Aisyah. Mereka berbalas-balas suapan.

##########

Kompilasi kisah cinta yang mematuhi syariah, menggunakan teknik penulisan surah Yusuf dan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

Definisi Cinta

1. Syurga Cinta

Kisah Cinta

1. Kopi Pahit Kaw-kaw

2. Bercinta Di Meja Makan

3. Dalam Hati Ada Taman

4. Madu Untuk Isteri

5. Cinta Itu Seperti Garam

6. Menyemai Benih Cinta, Menuai Buah Rezeki

7. Cinta Mengambang Penuh

8. Bercinta Di Hari Lahir

9. Urut-urut Manja

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."

Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.