===================================================

Siri Kemarahan Ke-2.

#Entri ini adalah sambungan kepada Marah Itu Tanda Ghairah. Untuk lebih kenikmatan, baca dulu entri Marah Itu Tanda Ghairah, sebelum tuan baca entri ini.

===================================================

Sudahkah tuan mengerah segala kekuatan untuk melawan kemarahan? Berhati-hati dengan kemarahan, kerana kemarahan yang ada di hati, tidak pernah simpati untuk menyakiti sesiapa sahaja yang belum mati. Bisa kemarahan itu sungguh bahaya. Orang yang kena marah sudah pasti terasa, kita yang marah-marah juga akan terkena bisanya.

Hati sakit, jiwa tidak tenang. Sungguh menyeksakan. Daripada marah menjadi benci. Sudah benci, berdendam pula. Semua itu membawa binasa.

Marah Atau Benci?

“Aku hanya marah, bukannya benci.”

Ayat yang biasa kita dengar daripada orang yang marah. Apa bezanya antara marah dan benci? Susah juga mahu dibezakan antara marah dan benci ini. Apabila marah, kita kehilangan arah. Apabila benci, kita mula mencaci.

Marah tetapi tidak benci, benci tetapi tidak marah. Satu istilah yang sukar difahami.

“Marah itu adalah luahan rasa tidak puas hati dengan mengharapkan perubahan. Manakala benci pula adalah luahan rasa tidak puas hati tanpa mengharapkan perubahan. Putus asa dengan pasangan!”

- Abu Saif, saifulislam.com

Sungguh tipis beza di antara marah dan benci.

Macam mana? Renung-renung kembali kemarahan kita selama ini. Selama ini, kita marah atau pun benci pada seseorang itu? Fikir-fikirkanlah.

Dinding, Paku & Penukul.

Sebelum tuan mahu marah, mari kita hayati dan cuba amalkan tips ini.

Untuk kurangkan kemarahan kita, kita sediakanlah paku dan penukul. Kemudian pilihlah satu dinding sebagai tempat memaku. Apabila kita terasa mahu marah pada seseorang, tahan dahulu seboleh yang mungkin. Kemudian, kita pergi ke arah dinding tadi. Lepas itu, kita pakulah dinding tadi dengan sebatang paku. Pukullah sekuat-kuat hati kita untuk melepaskan kemarahan. Biar terbenam seluruh paku ke dalam dinding.

Setiap kali terasa mahu marah, pakulah dinding itu. Satu paku, satu kemarahan. Lama-kelamaan, kita akan dapat mengawal kemarahan kita itu. Apabila kita sudah dapat mengawal kemarahan kita, pergi semula ke arah dinding tadi.

Cuba kita cabut semua paku kemarahan kita itu. Selepas kita cabut, jangan lupa untuk tengok pada keadaan dinding. Pasti penuh dengan lubang-lubang, bukan?

OK.

Ambil masa sekejap, dan kita renunglah pada dinding yang berlubang itu. Apakah maksudnya?

Dinding itu ibarat hati orang-orang yang pernah kita marah. Paku itu adalah kemarahan kita. Satu paku, satu kemarahan. Apabila kita marah, paku kemarahan itu akan menusuk hati seseorang. Memang sakit dan sungguh berbisa. Lepas kita marah, mungkin kita akan rasa menyesal. Lalu kita pergi meminta maaf dan cuba untuk mencabut semula paku-paku kemarahan tadi.

Tetapi, walaupun paku tadi sudah dicabut, kesannya tetap ada. Hati telah terguris dan kekal berparut di hati.

Ingat kembali pada dinding, paku dan penukul setiap kali kita mahu marah. Saya juga sentiasa merenungnya. Hati-hati yang sudah terguris, maafkanlah diri ini.

===================================================

p/s: Siri Kemarahan Ke-3 akan menyusul. Tetapi, bukan esok ataupun lusa. Mungkin bulan depan. Ambillah masa yang ada untuk kita sama-sama menghadam 2 entri kemarahan ini, sebelum kemunculan entri yang ke-3.

“Dendam Yang Tak Pernah Padam.”

===================================================

“Realiti Kita Nyata Berbeza.”

Gandakan lagi kenikmatan tuan dengan entri berikut:

  1. Marah Itu Tanda Ghairah Aku ada kawan. Nama dia Farah. Farah suka warna merah...