Indahnya kenangan pada zaman kanak-kanak, tidurku bertemankan CERITA MENGULIT daripada ayah. Ibu pula mengayunkan buaian dan mengulit diriku dengan alunan zikir. Tidurku lena dengan ulitan manja dan belaian kasih sayang daripada ibu dan ayah.

Kini diriku telah dewasa, tidurku diulit dengan lembaran kerja dan dibuai dengan bebanan dunia. Ketika kecil kita suka bermain-main. Setelah dewasa, kita dipermain-mainkan oleh tipu daya dunia.

Indahnya kenangan kita sewaktu kecil-kecil dahulu. Kita riang ria tanpa perlu memikirkan masalah dunia.

Kalau kita ingin kembali ke zaman kanak-kanak, itu adalah perkara yang mustahil dan pasti tidak akan berlaku. Perkara yang mungkin berlaku adalah kita akan berkahwin, berumah tangga dan mempunyai anak. Segala kegembiraan yang kita nikmati dahulu, kita pastikan anak-anak kita juga bakal merasainya. Kekurangan yang ada sewaktu kita kecil dahulu, kita tebus kembali dengan memberikan kegembiraan kepada anak-anak.

Salah satu kegembiraan anak-anak adalah CERITA. Ya, CERITA.

Kenapa perlu bercerita?

Anak-anak lebih perlukan cinta, bukan harta semata-mata. Dengan bercerita, kita meluahkan cinta kepada anak-anak. Berceritalah kepada anak-anak, lenakan mereka dengan cerita dan belailah mereka dengan cinta.

Marilah kita budayakan CERITA MENGULIT.

“Ulit sayang, sayang diulit, ulit dengan kasih dan sayang.”

(Opss, ayat ini tidak sedap kalau dibaca begitu sahaja. Cuba lagukan ayat ini dengan irama Ulik Mayang.)

Kanak-kanak dan cerita sememangnya tidak boleh dipisahkan. Tanpa cerita, anak-anak akan derita. Mereka akan gembira dan suka dengan cerita yang kita sampaikan. Terlebih utama, mereka paling gembira kerana adanya ibu bapa yang bercerita untuk mereka.

“Seorang ibu dan seorang bapa tidak mungkin mampu untuk duduk di sisi katil anak-anak untuk bercerita kecuali semasa hatinya sihat berisi kasih sayang. Suara ibu dan bapa bercerita dengan perasaan kasih sayang itu sangat menenangkan. Setelah anak-anak tertekan dengan keletihan di sekolah sepanjang hari, bahkan mungkin juga dirangsang terlebih oleh televisyen atau permainan komputer, cerita ibu dan bapa memadamkan semua itu.”

- Ustaz Hasrizal, Saifulislam.com

CERITA MENGULIT sangat berkesan untuk anak-anak. Kalimah yang baik akan meresap ke dalam minda separuh sedar ketika mereka tidur. Biasakan mereka dengan kata-kata yang baik dan cerita-cerita yang elok. Insya Allah, anak-anak kita akan berakhlak mulia.

Dodoikan anak-anak dengan zikir dan ulitlah anak-anak sebelum mereka tidur.

“Tidurlah sayang,

Pejamkan mata, tenangkan fikiran, rehatkan badan.

Tidurlah sayang,

Pohonkan ampun, pintalah doa.

Astaghfirullah,

Ampunkan daku wahai Allah,

Bismikallahumma ahya wa amut,

Dengan namamu wahai Allah, aku hidup dan aku mati,

Tidurlah sayang,

Moga tidurmu jadi kerehatan, lenamu dalam rahmat Allah dan jagamu dalam lindungan Allah,

Tidurlah sayang,

Tidurlah sayang,

Tidurlah sayang, ”

Oh, saya cuba mereka lagu tidur untuk bakal anak-anak saya. Kalau ada ibu-ibu dan ayah-ayah yang terbaca tulisan saya ini,  bolehlah cuba mengulit anak-anak dengan lagu ini.

“Kepada anak-anakku yang akan lahir ke dunia, ayah akan bercerita untuk kamu semua.”

Buat diriku dan kawan-kawan yang bakal bergelar ibu dan bapa, juga untuk tatapan ibu-ibu dan bapa-bapa sekalian, saya persembahkan dua entri yang amat bermanfaat untuk rujukan kita semua.

1. Tidurlah Sayang

2. Cerita Sebelum Tidur Bina Daya Imaginasi Dan Kreativiti Anak Anda

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."

Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.