“Meja makan itu meja kebaikan. Nasinya berlaukkan ilmu dan airnya berisi hikmah.”

Manusia ini secara umumnya makhluk bersosial. Kita inginkan kawan untuk meluahkan perasaan dan mendengar pandangan. Kadang-kala kopi dan teh hanyalah hiasan hidangan, sembang-sembang itu yang penting.

Kaum keluarga bertemu, hidangan dijamu, dan dilengkapkan dengan ilmu. Itulah pakej sembang dan pakej cerita kedai kopi yang lengkap; makanan jasmani dan santapan rohani. Makanan dihadam oleh perut, diproses menjadi tenaga untuk menggerakkan perjuangan, dan ilmu dicerna oleh akal, ditapis menjadi gagasan pemikiran.

Nasihat yang baik sama pentingnya dengan makanan yang berkhasiat. Makan berjemaah yang ditambah dengan perbualan yang bermanfaat, itulah pelengkap kehidupan manusia.

Meja makan itu meja kebaikan. Nasinya berlaukkan ilmu dan airnya berisi hikmah.

Mungkin kita akan lupa apa yang kita makan, tetapi kita akan sentiasa ingat, dengan siapa kita makan bersama.

Pemilik jiwa yang kosong, cakapnya merapu, ceritanya tipu dan sembangnya kosong. Jiwa itu kosong bukanlah kerana kurangnya ilmu tetapi tiadanya matlamat untuk menjadi hamba Allah yang terbaik.

Tuan punya kedai kopi untungnya tak seberapa. Kedainya penuh dengan pelanggan yang sama. Kopi hanya secawan, lepak pula berjam-jam lamanya. Kalau para pejuang ilmulah yang berbicara selama itu, telah terhasil idea yang memandaikan bangsa.

Bersembang kosong memang membazir masa, bahkan kadang-kala menambah dosa. Melepak di dunia memang selesa, sedangkan azab neraka amatlah seksa.

Semoga kita semua dijauhkan oleh Allah daripada perkara yang sia-sia lagi melalaikan. Amin…

Idea dan konsep asal adalah tulisan Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin: Menilai Meja Kopi

Artikel ini ditulis, dengan semangat yang dicetus oleh penulis novel “Negeri 5 Menara”, Ahmad Fuadi. Katanya,

“Setiap Subuh, saya memaksa diri duduk di hadapan komputer dalam 30 minit hingga satu jam bagi menulis. Tidak kira sama ada mengantuk atau tidak. Pulang dari kerja, pada waktu malam, menulis lagi.”

Maha suci Allah yang telah mempertemukan kami dengan beliau pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam. Alhamdulillah…

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."

Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.