“Pentingkan perkara yang terpenting daripada perkara yang penting, kerana perkara yang terpenting itu lebih penting daripada perkara yang penting.”

- Hairul Faizal Adli :)

Dalam hidup ini, ada benda yang penting dan ada juga benda yang amat penting. Apabila bertembungnya dua kepentingan, yang mana satukah pilihan kita?

  • Antara harta dan cinta.
  • Antara dakwah dan belajar.
  • Antara keluarga dan sahabat.

Kedua-duanya sama penting, sama mustahak dan tidak boleh diabaikan. Macam mana hendak membuat pilihan?

Fikir-fikirkan, sertakan sekali dengan zikir.

"Fikir-fikirkan, sertakan sekali dengan zikir."

Tanyalah Si Perompak

Sebilah pisau yang tajam berkilat diacukan ke leher kita, dan perompak yang durjana itu mula mengugut.

“Wang atau nyawa?”

Kita menggeletar ketakutan.

“Tolong, jangan bunuh aku. Ambillah semua duit ini.”

Pasti itulah jawapan spontan yang akan keluar dari mulut kita. Kita sanggup menyerahkan semua wang yang kita ada, asalkan nyawa tidak diambil. Wang boleh dicari lagi, tetapi hidup hanya sekali.

Terpaksa memilih antara wang dan nyawa, itulah pilihan kita sebagai orang yang lemah apabila berlakunya rompakan. Tetapi, kalau kita pandai bersilat, lain pula jawapannya.

“Cis, langkah mayat aku dahulu.”

Kata-kata dihamburkan dengan penuh berani, serentak pula dengan jurus pukulan maut. Penumbuk padu dihayun laju, sepakan keras dilayang mantap, dan si perompak berlari laju menghilangkan diri.

Wang dan nyawa, kedua-duanya terselamat.

Apabila diri begitu lemah, pilihan yang dibuat akan menyebabkan kerugian. Orang yang lemah, terpaksa kehilangan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu.

Namun, jika diri ada ilmu dan kuasa, benda yang ada akan bertambah-tambah dan benda yang tiada akan pasti dimiliki.

Rugilah orang yang lemah, beruntunglah orang yang kuat.

Kata Nabi:

“Mukmin yang kuat, lebih baik dan lebih dicintai Allah, berbanding mukmin yang lemah dalam setiap amal kebaikan.”

- Hadis riwayat Muslim.

Antara Harta Dan Cinta

“Harta tidak boleh membeli cinta, tetapi cinta memerlukan harta.”

Kerana harta, jangan pula kasih sayang yang diabaikan.

Walaupun sibuk bekerja untuk menambahkan harta, kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak jangan dilupakan. Sedikit gurauan mesra dan kata-kata nasihat lebih menggembirakan hati anak-anak berbanding duit poket yang banyak. Anak-anak mahu dipeluk serta diusap kepalanya oleh ibu dan ayah lebih daripada kemewahan yang ditabur. Alangkah sedihnya anak-anak, jika yang membesarkan mereka adalah bibik dan pembantu rumah, bukannya ibu bapa mereka.

Seterusnya, kerana cinta, jangan pula harta yang digadaikan.

Kekasih hati merenggek manja, minta dibelikan itu dan ini. Tangan meraba punggung, jari menyeluk poket, dompet dibuka dan wang dikeluarkan tanpa berkira. Kad kredit pula digunakan sesuka hati. Mula-mula, hatinya puas kerana dapat menggembirakan orang yang tersayang. Namun, apabila bil dan hutang mula bertimbun, mimpi ngeri sentiasa menjadi mainan tidur.

Antara Dakwah Dan Belajar

“Kita adalah pendakwah yang sedang belajar.”

Ingat dan hayatilah kata-kata ini wahai diri.

Biarpun sibuk dengan peperiksaan, walaupun tertekan dengan bebanan pelajaran, tanggungjawab untuk berdakwah tidak pernah sesekali hilang ataupun gugur. Jika diri ini sedar akan hakikat bahawa dakwah adalah keutamaannya, maka ia akan lebih bersungguh-sungguh untuk belajar dan seterusnya aktif dalam gelanggang dakwah.

Tetapi, jika kita menganggap diri ini adalah pelajar yang sedang berdakwah, maka tunggulah saatnya di mana beban pelajaran akan digalas dan tanggungjawab dakwah akan dicampak ke tepi.

Ijazah, master dan PhD jadi sasaran. Jawatan besar dan gaji lumayan jadi impian. Sesiapa sahaja pun mampu mencapainya jika cemerlang dalam pelajaran. Tetapi, Ahmad yang tidak pernah sembahyang pun, mampu mencapainya. Muthu dan Ah Chong yang tidak pernah percaya kepada Allah juga dapat mengecapinya. Jadi, apa bezanya dengan kita, yang sama-sama ada PhD dan sama-sama bergaji lumayan?

Jika dakwah jadi keutamaan, maka jawatan dan pengaruh yang ada dapat digunakan untuk membawa orang-orang bawahan kita bersama-sama ke arah jalan Islam. Jika dakwah jadi sandaran, gaji yang dikumpul akan dilabur untuk membangunkan ummah dan menguatkan ekonomi Islam.

Jangan Pening, Jangan Gelabah

“Pentingkan perkara yang terpenting daripada perkara yang penting, kerana perkara yang terpenting itu lebih penting daripada perkara yang penting.”

Dan, bahasa mudahnya adalah: PRIORITI.

"Mana satu yang penting?"

"Mana satu yang penting?"

Jika diberi dua pilihan yang sama-sama elok, buatlah kedua-duanya, dan jangan diabaikan walaupun salah satu daripadanya. Selesaikan dahulu perkara yang amat penting, dan kemudian barulah selesaikan perkara yang penting.

Jika ditawarkan dua pilihan, antara yang elok dengan yang buruk, maka pilihlah yang elok.

Jika diugut dengan dua pilihan yang merugikan, maka dengan sedaya upaya, berusahalah untuk mengelakkannya. Mana mungkin untuk kita memilih, antara memotong tangan ataupun kaki sendiri.

- Hairul Faizal Adli Bin Ab Ghani

19/5/2009