Amir menghulurkan sejambak bunga untuk Aisyah sambil berkata,

“Sayang, abang cintakan sayang.”

Aisyah menghulurkan tangan dan menerima bunga tersebut. Aisyah berkata,

“Abang, masa mula-mula kahwin dahulu, abang hanya hadiahkan sayang tiga kuntum bunga ros sahaja.”

Amir tersenyum dan berkata,

“Cinta abang kepada sayang semakin berkembang seumpama jambangan bunga ini.”

Aisyah tersenyum dan bertanya,

“Dulu-dulu, abang beri tiga kuntum bunga sahaja. Sekarang, abang beri sejambak bunga. Abang, bila pula abang mahu beri sayang satu taman bunga?”

Amir terkejut.

“Alamak…”

Aisyah meneruskan bicara.

“Abang kata cinta abang semakin berkembang. Daripada tiga kuntum bunga, kini sudah jadi sejambak bunga. Daripada sejambak bunga, mestilah jadi satu taman bunga.”

Amir masih tersenyum dan berkata,

“Untuk sayang, bukan setakat satu kebun bunga, ladang bunga pun abang sanggup beri.”

Senyuman Aisyah semakin lebar.

“Abang, abang romantik sangat. Abang suka beri bunga kepada sayang. Selepas ini, biarlah sayang pula yang jadi bunga-bunga cinta untuk abang.”

Amir tersenyum sambil bertanya,

“Bunga-bunga cinta? Sayang hanya seorang, hanya boleh menjadi bunga, tidak boleh menjadi bunga-bunga. Sayang beri izin untuk abang kahwin empat, ya?”

Giliran Aisyah pula untuk terkejut.

“Abang…”

Amir terus menyambung bicara.

“Sayang, abang cukup bahagia dengan sekuntum bunga seperti sayang. Cukuplah sayang seorang untuk abang.”

Aisyah memandang suaminya dan mereka bertentang mata. Suasana sunyi seketika. Kemudian, Aisyah berkata,

“Sayang sayangkan abang.”

Amir tersenyum dan berkata,

“Kalau abang ada bunga ros, abang akan simpan dalam pasu. Kalau sayanglah yang jadi bunga cinta abang, abang akan simpan dalam hati abang.”

Mata Aisyah bergenang dengan air mata. Amir berkata kepada Aisyah,

“Sayang… Sayang mahu taman bunga?”

Aisyah mengangguk dan matanya masih bergenangan dengan air mata.

“Dalam hati abang ada taman dan sayanglah bunga cinta abang. Abang cintakan sayang dan abang sayang sangat kepada sayang.”

Dalam Hati Ada Taman

“Dalam hati ada taman, dalam taman ada teman. Teman itulah si bunga cinta. Dalam hati ada taman dan sekuntum bunga cinta mekar harum di dalamnya. Akan kubaja dengan kerinduan dan akan kusiram dengan kasih sayang. Semoga Allah sentiasa redha.”

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."

Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.