Manusia cinta kepada kecantikan. Itulah fitrah seorang manusia. Tidak perlulah kita berbincang tentang definisi kecantikan, kerana setiap mata yang memandang ada persepsi yang tersendiri.

Benda yang tidak cantik, kita akan kritik.

Itulah sebabnya, apabila ada sesuatu perkara yang kita terasa tidak kena ataupun bertentangan dengan kepercayaan kita, kita pasti akan menolaknya.

Orang yang tidak cantik pada pandangan mata kita, pasti akan ditolak oleh kita jika hendak dijadikan pasangan hidup.

Cadangan dan idea yang tidak menepati kehendak kita, hendak mendengarnya pun kita tidak sudi apatah lagi untuk mempertimbangkannya.

Hukum-hakam dan perundangan yang akan mengancam kepentingan kita, pasti kita akan menentangnya berhabis-habisan. Sehinggakan ada orang yang berani memberikan amaran supaya melangkah mayatnya terlebih dahulu jika ada pihak yang ingin melaksanakan hukum hudud Islam di negara Malaysia.

Itulah fitrah kita, satu makhluk yang bernama manusia. Perkara yang baik untuk kita, kita akan mengalu-alukannya. Benda yang menyusahkan kita, kita pasti akan menolaknya jauh-jauh.

Ketahuilah, apabila kita terlalu senang untuk mengkritik dan terlalu susah untuk menerima pandangan daripada orang lain, sesungguhnya kita telah terperangkap di dalam DINDING KEBODOHAN.

Apabila terhalang oleh dinding kebodohan, kita menidakkan diri untuk mendengar pandangan orang lain. Kita tidak akan mendengar daripada orang lain tentang apa-apa yang kita tidak mahu mendengar.

Kita amat suka untuk mencincang sehingga tiada masa untuk berbincang.

Kita lebih banyak menghina daripada membina.

Kita lebih agresif untuk menyerang, bukannya menerang.

Marilah kita saling memahami, kerana sesungguhnya kita semua adalah berbeza-beza.

Kita ubahlah tradisi mencincang, kita tukarkan kepada tradisi berbincang. Daripada satu perbincangan, suara perpaduan akan kedengaran dan seribu kebaikan akan menjelma.

Kita berbincang dan kita merancang. Perbezaan yang ada kita cari titik temunya dan kita bersinergi untuk meraikan variasi idea. Marilah kita berbicara pada landasan ilmu yang dipandu oleh hujah yang jelas, bukannya terbabas dikawal oleh emosi.

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dia jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalanNya, dan Dia jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Surah an-Nahl, ayat 125.

Ada isu? Ada idea?

Jom kita bincang.

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."

Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.