Air yang keluar dari tangki simbahan bertukar menjadi darah.

Sebatang tangan tiba-tiba terjulur keluar dari dalam mangkuk tandas.

Wajah kita dalam cermin, dengan sekelip mata bertukar menjadi hantu dengan wajah yang mengerikan. Kita memegang berus gigi dan lembaga dalam cermin itu memegang tulang yang masih berdaging, sambil darah masih berjejeran menitis daripadanya.

Pintu tandas tiba-tiba terkunci dan lampu terus terpadam, lalu…

Astaghfirullahala’zim.

Itu hanyalah bayangan-bayangan karut.

Zaman sekarang bukan lagi zaman batu, umur sudah 21, tetapi masih takut kepada hantu, mengalahkan budak-budak darjah satu.

Disebabkan bayangan karut tentang hantu, kita jadi takut untuk pergi ke tandas pada waktu tengah malam. Sanggup kita menahan kencing kerana tidak sanggup bersemuka dengan hantu, padahal itu hanyalah jelmaaan hantu dalam fikiran kita semata-mata.

Alahai, betapa hantu telah menakutkan kita. Takutnya kita kepada hantu melebihi takutnya kita kepada tuhan. Semoga Allah mengampuni kita.

Kita takut untuk bangun dan sanggup menahan kencing pada waktu malam kerana takutkan hantu, tetapi mengapa pada waktu subuh juga kita tidak bangun-bangun untuk mengerjakan solat? Kalaulah hantu itu wujud sekalipun, laungan azan telah pun menghalau hantu-hantu tersebut pulang ke kandangnya.

Telah hilangkah rasa takut kita kepada tuhan?

Hantu Makin Canggih, Manusia Makin Kolot

Dulu-dulu, hutan masih tebal, tahyul dan khurafat masih memenuhi minda. Cerita-cerita tentang kewujudan hantu agak boleh diterima.

Versi kemunculan hantu mengalami pengubahsuaian mengikut zaman. Bahkan, hantu zaman sekarang semakin canggih, makin bertambah-tambah kehebatannya.

Ada hantu yang dapat masuk ke dalam TV, selepas itu boleh pula dia keluar daripada TV. Teknologi hologram sekalipun belum sampai secanggih itu.

Entah bila ada hantu yang belajar kejuruteraan mekanikal, entah dari mana ada hantu yang serba tahu mengenai kereta. Asal ada hantu yang mahu muncul, enjin kereta pasti mati, langsung tidak dapat dihidupkan. Pintu kereta pula tiba-tiba terkunci sendiri dan tidak dapat dibuka.Wah, hantu-hantu sekarang ada ijazah dalam bidang kejuruteraan rupa-rupanya.

Lebih canggih lagi, ada hantu yang mampu memanipulasi gelombang elektromagnet, menggodam sistem telekomunikasi dan pandai pula membuat miscall kepada mangsa-mangsanya. Kalau hantu buat panggilan, buang bateri telefon bimbit sekalipun, kita akan tetap menerimanya. Alahai, dekat manalah kau belajar pasal teknologi ini ye, wahai hantu.

Hantu Makin Canggih, Manusia Makin Kolot

Alahai, takutnya kita kepada hantu. Kenapa takut sangat ye?

Berapa ramaikah manusia yang mati kerana dihisap darahnya oleh pontianak?

Rasa-rasanya, yang mati kerana digigit nyamuk lebih ramai bilangannya.

Berapa ramaikah anak gadis kita yang disembunyikan oleh orang bunian?

Rasa-rasanya, anak gadis kita yang lari mengikut kekasih lebih banyak jumlahnya.

Berapa banyakkah duit kita yang telah dicuri oleh toyol?

Rasa-rasanya, telah berjuta-juta harta negara dan wang rakyat yang telah dikebas oleh penyangak negara.

Jadi, mahu sibuk-sibuk pasal hantu lagikah kita?

Catatan ringkas

Buka sahaja TV di Malaysia, pasti ada hantu yang menjelma. Dulu-dulu ada pontianak, sekarang penunggu gunung raya pula. Daripada tengok cerita hantu, lebih baik kita tengok rancangan Adik-adikku di TV1.

Adik-adikku, Insya Allah boleh.

Info tambahan

Usah didengar karutan bomoh dan pawang mengenai hantu, lebih baik bermuhasabah dengan cerita hantu oleh Ustaz Pahrol Mohd Joui.

Inilah ceritanya: Hantu Dalam Hati Kita.

Untuk melihat dan mengenali hantu-hantu manusia yang lebih hantu daripada hantu, marilah kita meneroka dunia paranormal menerusi perspektif Ustaz Hasrizal Saifulislam.

Inilah tulisannya: Antara Tuhan Dan Hantu.

Marilah tuan-tuan, marilah kita sertai gerakan menghapuskan hantu. Hantu-hantu daripada jin dan syaitan, kita hapuskan dengan zikir. Hantu-hantu daripada kalangan manusia pula, kita serahkan kepada pihak berkuasa.

Yang penting, jangan biarkan hantu merasuki pemikiran kita, dan jangan biarkan diri kita menjadi hantu yang berhati batu.

“Marilah kita hapuskan hantu.”

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

Hairul Dot Net, Beres Sokmo.