Bolehkah manusia di seluruh dunia bersatu?

Bolehkah rakyat Malaysia bersatu?

Kita dibius dengan fahaman nasionalisme dan dicucuk dengan semangat kebangsaan. Aku bangsa lain, engkau bangsa lain, kita tidak mungkin dapat bersatu.

Inilah kefahaman bodoh yang telah memecahbelahkan ummah di seluruh dunia. Kebanyakan manusia telah terpedaya dan rakyat Malaysia juga turut sama diperbodohkan oleh kefahaman ini.

Aku air, engkau minyak, kita tidak mungkin dapat bercampur. Dan ketahuilah, dengan kewujudan sabun, keangkuhan molekul air dan minyak dapat ditundukkan. Akhirnya, air dan minyak dapat bercampur dengan hadirnya sabun.

Aku bangsa lain, engkau bangsa kain, kita tidak mungkin dapat bersatu. Dan ketahuilah, dengan kepercayaan kepada Islam, kesombongan sesuatu bangsa dapat ditundukkan. Islam akan menyatukan kita semua. Kita berlainan bangsa, tetapi kita berkongsi tuhan, rasul dan kitab yang sama. Islam telah menyamaratakan darjat antara kita.

Manusia itu mulia bukan kerana bangsanya, tetapi mulianya manusia kerana Islam.

“Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuannya.”

Surah al-Hujurat, ayat 13.

Janganlah kita binasa kerana bangsa.

Aku Melayu, engkau Cina dan engkau pula India. Aku bangsa lain dan engkau bangsa lain. Bolehkah kita bersatu?

Sesungguhnya kita boleh bersatu.

Kita tidak dapat memilih untuk dilahirkan dalam bangsa tertentu, tetapi kita dapat memilih untuk hidup dan mati dalam agama pilihan kita. Beruntunglah orang yang memilih Islam sebagai agamanya.

Untuk orang Melayu;

Islam agama kita, Melayu bangsa kita dan mulianya kita bukan kerana Melayu, tetapi mulianya kita kerana Islam.

Untuk bangsa-bangsa lain di Malaysia;

Kita dilahirkan di bumi Malaysia dan kita dilahirkan dalam bangsa yang berbeza-beza. Bangsa kita adalah kebanggaan kita. Kita berlainan bangsa, tetapi kita berkongsi bumi Malaysia yang sama.

Dengarlah seruan saya dan saya menyeru tuan-tuan kepada Islam.

Islam adalah untuk semua manusia, Islam itu bukan untuk orang Melayu sahaja. Masuklah ke dalam Islam dan berimanlah kepada Allah. Sesungguhnya kita adalah bersaudara.

Sekalipun tuan tidak mahu menerima Islam, ketahuilah bahawa Islam tetap akan menjaga kebajikan tuan dan keadilan tetap akan ditegakkan ke atas tuan. Islam adil untuk semua.

Ya Allah, engkau satukanlah hati-hati kami, engkau berikanlah keamanan dan kesejahteraan kepada Malaysia dan seluruh dunia. Amin.

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."

Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.