Mati adalah sesuatu yang pasti. Kematian tetap akan datang walaupun tidak dinanti.

Sebelum tibanya mati, ibadah kita perlu diteliti, dan ingatlah bahawa Allah sentiasa memerhati.

Apabila mati seseorang anak Adam di suatu kawasan, maka jatuhlah hukum fardu kifayah ke atas semua penduduk untuk memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, mengerjakan solat jenazah dan mengebumikan jenazah.

Oleh sebab hukumnya fardu kifayah, maka anak-anak tidak perlu bersusah-payah, walaupun yang mati itu adalah seorang ayah, walaupun ayah kita sendiri.

Jiran-jiran membacakan Yasin, anak-anak menangis dan hanya melihat jenazah. Hendak turut serta tetapi tajwid berterabur, bacaan pula merangkak-rangkak. Akhirnya, jenazah ayah terkujur tanpa doa dan bacaan Yasin dari anak-anak.

Kasihan ayah.

Tok imam dan bilal masjid memandikan jenazah, anak-anak memandang sayu dan hanya melihat dari jauh. Tok Imam memanggil anak-anak untuk membantu, tetapi anak-anak menolak kerana kurangnya ilmu. Akhirnya, jenazah ayah dimandikan tanpa sentuhan dan belaian tangan anak-anak sendiri.

Kasihan ayah.

Apabila jenazah ayah hendak dikafankan, anak-anak diam membisu. Hanya air mata yang mampu dialirkan. Jenazah ayah dibaluti kafan, disarungkan jubah dan dipakaikan serban. Tetapi, bukan tangan anak-anak yang memakaikannya. Aduhai, ayah dahulunya bersusah-payah mencari rezeki, mencari duit dan membelikan pakaian untuk kita. Tetapi, untuk mengkafankan jenazah ayah sendiri pun kita tidak mampu.

Kasihan ayah.

Tiba saat untuk jenazah ayah disolatkan, anak-anak hanya memandang dari tepi. Ayah mahukan kita, anak-anaknya, untuk mengimamkan solat jenazah. Ayah mahukan doa dari kita, anak-anak ayah. Doakanlah ayah, bantulah ayah menuju alam barzakh. Tetapi, solat fardu yang 5 waktu itu pun entah ke mana. Kadang-kadang kita buat, kadang-kadang kita tinggalkan solat. Sekali lagi, jenazah ayah diimamkan dan disembahyangkan oleh orang lain.

Kasihan ayah.

Kini, jenazah ayah diusung ke kubur. Saat perpisahan abadi semakin tiba. Liang lahad ditutup dan jenazah ayah ditinggalkan seorang diri. Tanah dikambus dan talkin dibacakan. Sekali lagi, anak-anak hanya sekadar mengaminkan.

Kasihan ayah.

Orang ramai mula meninggalkan tanah perkuburan, anak-anak ayah juga meninggalkan ayah. Sanggup sekali anak-anak ayah tinggalkan ayah seorang diri? Mana doa anak-anak untuk ayah? Ayah tiada teman di dalam kubur, hanya mampu mengharapkan doa dari anak-anak.

Kasihan ayah.

Dulu, ayahlah yang selalu bersusah-payah dan berkorban untuk anak-anak. Tetapi, pada saat-saat akhir hidup ayah, tiada apa-apa yang diberikan oleh anak-anaknya. Mahu menguruskan jenazah ayah pun, orang lain yang lakukan. Ke mana perginya  anak-anak ayah?

Kasihan ayah. Kasihan emak.

Dari kecil sampai besar, emak dan ayah berkorban untuk membesarkan kita. Betapa besarnya jasa dan pengorbanan mereka. Apa yang kita sudah lakukan untuk membalas jasa mereka? Mahu menguruskan jenazah emak dan ayah pun kita tidak mampu.

Akhirnya, jenazah emak dan ayah menjadi tetamu di alam barzakh. Anak-anak pula terus leka dengan kehidupan dunia. Emak dan ayah menanti-nantikan doa daripada kita, anak-anak yang soleh.

“Ya Allah, engkau ampunkanlah dosa ibu dan ayahku, serta kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku semasa aku masih kecil.”

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

Hairul Dot Net, Beres Sokmo

Gandakan lagi kenikmatan tuan dengan entri berikut:

  1. Oya Wa Irankaii? # Petikan daripada cerita klasik negara Jepun, OYA WO KAU...
  2. Tahu tapi Tak Mahu Aku yakin, para perokok ini amat tahu tentang bahayanya rokok....