Ditulis oleh Hairul Faizal Adli.
Ditulis oleh Hairul Faizal Adli.
Ingat Jepun, Jangan Lupakan Syurga
# Imbauan nostalgia dan muhasabah untuk kita yang telah berada di Jepun dan rujukan untuk mereka yang belum sampai ke Jepun. Motivasi untuk kita yang mahu menuju ke syurga.
Kenapa Mahu Pergi Ke Jepun?
Semua orang mahu pergi ke Jepun, sebabnya mereka telah mendengar bermacam-macam cerita tentang kehebatan Jepun.
Itulah naluri manusia. Apabila mendengar sahaja benda-benda yang hebat dan perkara-perkara yang menyeronokkan, kita tidak akan merasa puas selagi kita tidak dapat merasainya sendiri.
Semua orang tidak sabar-sabar mahu pergi ke Jepun dan merasai sendiri betapa seronoknya hidup di bumi sakura. Sesiapa sahaja pasti teruja untuk menjejakkan kaki ke negara empat musim, negara maju dan negara yang macam-macam ada. Semua orang yang pernah pergi ke Jepun pasti bercerita tentang kehebatan Jepun.
Apabila orang bercerita tentang betapa sedapnya tempura Jepun, kita juga mahu merasainya dengan lidah dan mulut kita sendiri. Kita juga mahu rasa betapa nikmatnya berendam dalam ofuro, tempat air panas ketika suhu sejuk mencengkam kulit.
Segala-galanya ada di Jepun.
Fuh, kaki belum terjejak di bumi Jepun, tetapi imaginasi telah terbang laju mengatasi kelajuan kapal terbang, merentasi Laut China Selatan, lalu meneroka ke seluruh pelosok Jepun.
Kita telah pun membayangkan betapa seronoknya berada di Jepun, biarpun jasad hidup masih berada di bumi Malaysia. Cerita-cerita menarik tentang Jepun, yang kita dengar daripada orang lain, baca daripada buku ataupun yang kita lihat di dalam TV telah pun melekat di dalam memori kita. Perasaan ingin pergi ke Jepun pula semakin membuak-buak.
Itulah keajaiban dan khabar gembira tentang sesuatu benda yang dapat memikat hati kita untuk mendapatkannya. Cerita-cerita menarik tentang Jepun membuatkan kita tidak sabar-sabar mahu pergi ke Jepun.
Setelah dengar pasal kehebatan Jepun, semua orang mahu pergi ke Jepun. Setelah dengar pasal kehebatan syurga, semua orang mahu masuk ke syurga. Sejahat-jahat manusia pun, pasti ada kemahuan untuk masuk syurga. Pergi Jepun ataupun masuk ke syurga, kedua-duanya ada syarat masing-masing.
Allah menurunkan al-Quran untuk menyampaikan berita-berita gembira kepada seluruh manusia dan memberitahu cara untuk menuju ke syurga.
Syarat untuk memasuki Jepun pula, kita semak dengan pihak yang berkaitan.
Kalau datang ke Jepun untuk belajar, kita akan dapat lebih daripada ilmu.
Kalau datang ke Jepun untuk bekerja, kita akan dapat lebih daripada duit.
Kalau datang ke Jepun untuk melancong, kita akan dapat lebih daripada pengalaman.
Kalau datang ke Jepun untuk bersuka-ria, kita akan dapat lebih daripada keseronokan.
Tetapkanlah matlamat untuk pergi ke Jepun, dan rasailah sendiri betapa seronok dan hebatnya kehidupan di Jepun. Walaupun ingin ke Jepun ataupun pergi ke mana-mana sekalipun, jangan sesekali lupakan syurga.
Tetapkanlah matlamat untuk masuk ke syurga dan berusahalah untuk mendapatkannya.
Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."
Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.
« Kerana Kasut Saya Menangis Entri seterusnya:
Memberi Makna Kepada Cakna »
