Dua hari yang lepas, kami telah sampai ke Palestin.

Ya, Palestin.

Kami lihat anak-anak kecil membaling batu kepada askar Israel, ibu-ibu melawan dengan berani dan para ayah gagah berjuang mempertahankan Palestin.

Ya, jasad kami masih berada di Jepun, tetapi jiwa dan perasaan kami telah berpijak di bumi Palestin.

Mata kami melihat perjuangan mereka hanya menerusi paparan video dan hati kami ada bersama-sama mereka. Mereka berjuang di tanah air mereka dan kami di sini mengirimkan peluru-peluru doa untuk membantu mereka.

Darah mereka bertitisan, bercampur peluh dan air mata. Kami di sini, hanya mampu mengalirkan air mata sahaja. Terlalu sedikit yang mampu kami lakukan, tetapi sudah angkuh mendabik dada mengelar diri sebagai pejuang. Ampunilah kami ya Allah.

Dengan asbab kehadiran seorang pejuang Islam, Ustaz Hasanuddin Bin Mohd Yunus ke Jepun, kami didedahkan dengan kebenaran dan kejadian sebenar penawanan kapal Mavi Marmara oleh askar Israel.

Kisahnya sudah terlalu banyak tersebar di media massa, cuma, perkongsian secara langsung daripada mulut pejuang itu sendiri lebih segar dan menarik. Bicaranya penuh semangat dan meresap masuk ke dalam diri kami.

Tatkala beliau dipijak dan disakiti oleh askar Yahudi jahanam, kepada Allah jualah beliau berserah.

“Hasbunallahuwanikmalwakil. Memadailah Allah sebagai pelindung kami. Kaki yang memijakku adalah milikmu, badan yang dipijak juga adalah milikmu, dan semua yang terjadi ini juga adalah kerana izinmu.”

Walau berterusan dipijak, tiada lagi kesakitan yang beliau rasakan selepas itu.

Ustaz Hasanuddin juga berkongsi kepada kami mengenai strategi pelayaran Mavi Marmara yang mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku sebelum Perjanjian Hudaibiah.

Cara Rasulullahlah yang terbaik. Sirah telah mengajar kepada kita dan kitalah yang perlu bijak mengaplikasikannya pada masa sekarang.

Ketika umat Islam dan musyrikin Mekah dalam suasana perang, Rasulullah dan para sahabat dengan beraninya mahu memasuki Mekah dengan memakai ihram dan tanpa menghunus senjata.

Tindakan itu satu tekanan yang dahsyat untuk musyrikin Mekah rupanya. Dunia Arab memerhatikan mereka. Kalau rombongan Rasulullah diserang, mereka akan dihina kerana memerangi golongan yang ingin beribadah di tanah haram. Kalau dibenarkan masuk pula, itu satu penghinaan yang besar untuk mereka. Mana mungkin musuh mereka iaitu Rasulullah dapat dibenarkan masuk ke tempat mereka dengan mudah.

Dan strategi Rasulullah itu berhasil dengan termeterainya Perjanjian Hudaibiah.

Begitu juga dengan kapal Mavi Marmara. Satu dunia memerhatikan perjalanannya. Israel dalam tekanan. Jika mereka menyerang, satu dunia akan mengecam mereka. Kalau dilepaskan masuk, itu satu kehinaan untuk mereka.

Itulah strategi kapal Mavi Marmara, untuk mencelikkan mata dunia tentang isu Palestin.

Terima kasih untuk Ustaz Hasanuddin atas perkongsiannya dan tahniah untuk pihak urusetia, Aspiring Malaysian Rijal yang menjayakan program tersebut.

Islam pasti menang. Jadikan tangan kita sebagai tangan yang memenangkan Islam.

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."

Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.