Kasut yang hapak dan busuk, baunya menikam hidung dan menyeksakan si penghidu. Begitulah adatnya. Tetapi kini, sepasang kasut yang buruk mampu menumpahkan air mataku. Kanak-kanak yang memakai sepasang kasut buruk itu, mempunyai sekeping hati yang suci.

Children Of Heaven, satu cerita yang menampar diriku. Konon-kononnya diri kitalah yang paling banyak masalah, padahal nikmat daripada Allah yang manakah yang ingin kita nafikan?

Ali dan Zahra, dua adik-beradik miskin di pinggir kota Tehran. Hanya kerana sepasang kasut, terhasillah satu cerita yang menyentuh hati dan emosi para penonton. Cerita yang biasa-biasa sahaja, tetapi memberikan kesan yang luar biasa kepada diri penonton.

Hinanya manusia bukan kerana kurangnya harta, tetapi hinanya manusia kerana tiadanya budi. Saksikanlah bagaimana seorang ayah yang tidak berpendidikan tinggi mengajar Ali dan Zahra tentang amanah.

“Gula ini kepunyaan masjid, diamanahkan kepada kita.”

Walaupun mereka kehabisan gula, hak orang lain tidak pernah mereka ambil.

Mainan mereka bukannya PS3 ataupun komputer, cukuplah dengan buih sabun untuk menggembirakan mereka. Sungguh, hati ini merasa sangat bahagia melihat Ali dan Zahra bermain-main dengan buih sabun.

Hatiku sangat tersentuh dengan tekad Ali yang ingin menggantikan kasut Zahra yang hilang. Ali hanya mahu tempat ketiga dalam perlumbaan, walaupun dia mampu menjadi johan.

Saya tidak mampu mencari kekurangan cerita ini, kerana saya telah jatuh cinta padanya. Ceritanya berakhir dengan satu kesedihan, tetapi memberikan permulaan hidup yang baru buat para penonton.

Sekali lagi saya belajar daripada kanak-kanak.

Saya menonton dengan mata dan amat terkesan pula di hati saya. Saksikanlah cerita Children of Heavan ini.

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."

Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.