Kau faham bahasa Jepun? 10 orang, 10 warna. Ya, itulah maksud tersuratnya. Tahniah kerana kau faham. Oh, yang tak faham bahasa Jepun pun, teruskan juga membaca. Jangan bimbang, ayat-ayat seterusnya aku tuliskan khas untuk kau, semuanya dalam bahasa Melayu.

Jyuu Nin To Iro. Ini adalah satu peribahasa Jepun. Maksudnya 10 orang, 10 warna.

“Lain padang, lain belalang. Lain orang, lain ragamnya.” Ini pula dalam versi bahasa Melayu. Peribahasa inilah yang sama maksudnya dengan peribahasa Jepun yang aku tuliskan tadi.

Aku yakin dan penuh percaya, kau semua faham maksud peribahasa ini, kan? Kau juga pasti ada tafsiran kau yang tersendiri. Tentu menarik kalau kita semua dapat kongsikan bersama, kan? Apa lagi, tuliskan saja kat bahagian komen tu. :)

Sebelum itu, mari baca apa yang aku nak tuliskan.

Lain orang, lain ragamnya. Lain ilusi, lain fantasinya. Lain hati, lain realitinya. Itulah, kita sama-sama manusia, tapi kita semuanya berbeza. Dan perbezaan itulah yang menjadikan kita unik.

  • “Just because you are unique, does not mean you are useful.”

Kau pemarah, aku peramah. Kau serius, aku rileks sahaja. Kau dan aku nyata berbeza, tapi kita tetap serasi bersama. Ibarat aiskrim dan root beer, dua benda yang berbeza, tapi masih boleh menghasilkan float yang amat mengghairahkan. Float? Oh, tiba-tiba sahaja aku terasa nak makan kat A&W.

Pemikiran Kita Berbeza

Kali ini, kita fokus perbezaan kita dari segi pemikiran. Lain kepala, lain otak, lain pemikirannya. Kita semua ada pemikiran yang berbeza, dan kadang-kadang pemikiran kita sama sekali bertentangan. Banyak faktor yang mempengaruhinya dan pemikiran seseorang juga takkan dapat diubah dengan sebegitu mudah. Jom, kita buat analisis ringkas untuk beberapa contoh pemikiran kita yang berbeza.

Harta Dan Cinta

Kau kata, harta (wang) itu sumber kebahagiaan. Tapi dia kata, cinta itu penentu kebahagiaan. Nah, ini pula kata aku.

“Antara harta dan cinta, aku pilih kedua-duanya. Ada harta hidup senang, ada cinta hidup bahagia.”

Ada yang memandang harta semata-mata, hingga membutakan mata pada cinta. Isteri lama ditinggalkan, anak-anak pula dahagakan kasih sayang. Mungkin pada fikirannya, harta itu pengikat cinta. Ada pula yang meminggirkan harta, mahu hidup zuhud di dunia nyata.

“Walaupun miskin, aku tetap bahagia.”

Ceh, apa jenis kebahagiaan itu kalau makan pakai anak bini pun tidak terurus. Jangan dilupa, harta tetap penting meskipun ada yang menganggap harta sebagai sumber keangkuhan, kejahatan dan sifat tamak dalam diri. “Money is the root of all evil. “ Oh, aku langsung tak setuju dengan ayat ini.

Nampakkan, pemikiran kita sama sekali berbeza. Kita memandang harta dan cinta dari perspektif yang berbeza. Jom, kita analisis dua aspek seterusnya.

Perempuan

Kau kata, kau suka perempuan yang senyap, sebab dia bersopan-santun. Tapi aku suka dia, seorang yang periang. Gembira tak henti-henti, buat aku senang hati.

Tak kisah la, siapa jua pilihan hati. Yang penting, dia pasti ada daya tarikan istimewa yang tersendiri. Ada yang tertawan pada perempuan kerana paras dan rupa. Ada juga yang memandang harta melebihi cinta, mencintai perempuan kerana mahukan kesenangan. Pergi matilah kalau kau dalam golongan sebegini.

Apa jua alasan kita untuk mencintai seorang wanita, semuanya berbalik pada pemikiran kita. Dari sudut mana sekalipun kecantikan dan daya tarikan perempuan, sekali lagi perspektif dan pemikiran kita yang menentukannya.

“Beauty is in the eye of beholder.”

Kejayaan dalam hidup

Kau kata, kejayaan seseorang ditentukan oleh helaian sijil, ijazah dan master. Keluar universiti, pekerjaan sudah menanti.

Ya, aku juga setuju. Tapi, alam realiti perlukan lebih dari sekadar ijazah. Kejayaan di universiti dicopmohorkan pada sekeping kertas. Namun, kejayaaan dalam kehidupan yang sebenar kita sendiri yang tentukan. Ijazah yang kau ada boleh membantu, tapi aku tak berapa setuju kalau kau kata ijazah itulah segala-galanya.

Labanon dah buktikannya, kita bukannya jenazah kalau tiada ijazah. Aku yakin, aku tetap boleh hidup bergaya dan berjaya, walaupun tanpa ijazah.

Sekali lagi aku tegaskan. Helaian ijazah itu penting dan memudahkan kehidupan kau. Tapi, tak ada ijazah pun kau tetap boleh berjaya dan jadi jutawan.

Politik.

Oh, sampai ke topik yang paling panas. Politik. Pendirian politik kita pasti berbeza. Kau sokong parti yang itu, aku pula sokong parti yang ini. Kau sokong barisan yang itu, aku tetap dengan pakatan yang ini. Cukup. Kalau aku bercerita pasal politik lagi, kau pasti nak berdebat dengan aku.

Nah, kalau kau nak berdebat pasal politik juga, entri ini paling sesuai. “Aku Bukan Warganegara Malaysia.”

# p/s: Aku ada entri yang lebih panas tentang politik selepas ini. Hanya di hairul.net, dekat di hati. :) Tunggukan entri yang akan datang. #

Ok. Cukuplah dengan beberapa contoh perbezaan di atas. Nampak sangatkan, pemikiran kita nyata berbeza. Tapi tak taulah, kalau-kalau salah seorang dari kau, ada yang sama pemikirannya dengan aku. Oh, aku nak tahu siapakah kau yang sama pemikirannya dengan aku.

Kesimpulan

Bila bercakap pasal perbezaan ini, aku teringat akan firman Allah, mafhumnya.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya.”
( Surah Al-Hujurat ayat 13:)

Sebenarnya, aku sengaja memilih topik ini supaya kau dan aku sedar dan saling menghormati perbezaan yang ada antara kita semua. Semoga yang kaya tidak menghina yang miskin dan yang cemerlang tidak memperlekehkan yang kurang berjaya.

Ingat, manusia tidak dijadikan bodoh atau pun pandai. Manusia hanya dijadikan dengan kepandaian yang berbeza. Sebab itulah, kita semuanya berbeza.

Akhir kata, terimalah perbezaan yang ada sesama kita dan bersyukurlah dengan persamaan masing-masing.

Dia tak sama dengan aku, tapi aku tetap sayang pada dia. Kau juga berbeza dengan aku, tapi aku juga tetap sayangkan kau. Kan aku dah kata, aku seorang yang penyayang. :)

Kita berbeza tapi serasi bersama.

“Realiti Kita Nyata Berbeza.”