Aku ada kawan. Nama dia Farah. Farah suka warna merah dan Farah juga suka marah-marah. Bila Farah marah, muka Farah merah, tapi Farah tetap comel. Bila Farah marah, aku hanya pasrah lalu tunduk menyerah. Oh, Farah. ;)

OK. Habis cerita pasal Farah. Aku memang sengaja memilih Farah sebagai penyeri entri ini. Ada sebabnya. Farah itu ertinya kegembiraan, dan kegembiraan itulah lawannya kemarahan. Bila Farah (kegembiraan) sudah menjadi milik kita, kita tak akan marah-marah lagi. Sungguh bahagia hidup kita dengan adanya Farah.

Marah Perempuan

Ikut satu kajian, orang yang suka marah-marah adalah orang perempuan. Orang perempuan memang murah dengan kemarahan. Sama ada kajian itu satu fakta atau pun auta, aku memang tak peduli. Aku ada pandangan aku sendiri.

Bagi aku, marah orang perempuan satu anugerah. Marah mereka jadi panduan arah. Marah mereka marah kerana sayang. Marah mereka adalah kata-kata yang ikhlas. Apa yang terpendam dalam hati mereka semuanya terluah, dan mereka akan rasa puas.

Bila perempuan marah, aku hanya pasrah lalu tunduk menyerah. Aku sanggup mengalah untuk mendengar luahan mereka.

Oleh itu, bila perempuan marah, jangan kita terus menyanggah. Cubalah untuk terus berada dalam keadaan stabil ketika perempuan sedang membebel.

Oh, aku rindukan bebelan emak aku. Sudah lama aku tak balik kampung.

Marah Lelaki

Kalau perempuan marah, aku boleh faham. Tapi kalau lelaki, apa kejadah, langsung tak ada faedah. Kalau benda remeh-temeh pun kau nak marah, kau bukan lelaki. Kau tak ubah seperti daki dan kau langsung tak gentleman. Marah dan maki itu bukan budaya lelaki.

Marah orang lelaki marah yang berhikmah. Marah orang lelaki adalah marah untuk memberi pesan, bukan untuk meluah perasaan. Marah orang lelaki pasti memberi kesan, tapi bebelan lelaki sungguhlah bosan.

Oh, aku juga seorang lelaki dan aku tak suka marah-marah. Aku jarang marah kerana aku orang yang peramah. ;) Tapi, sekali aku marah, kau pasti parah. Sudah ramai yang terkena aura kemarahanku. Oh, maafkanlah aku.

Bagaimana untuk menghapuskan marah?

Bila menggelegaknya darah, itulah tandanya marah. Ketika itu syaitanlah yang paling ghairah. Sibuk menghasut dan sibuk mengarah. Ingat, jangan sesekali kita menyerah dan jangan kita hilang arah.

Marah itu datangnya dari syaitan, syaitan itu asalnya dari api, dan hapuskanlah api itu dengan berkat air sembahyang. Bila kita marah, ingatlah pada Allah. Semoga kita diberikan kekuatan untuk menahan kemarahan.

Mari kita renungkan sabda Rasulullah:

“Orang yang paling gagah perkasa di antara kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya di waktu marah dan orang yang paling sabar di antara kamu semua ialah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya.”

(Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)

Renung-renungkanlah.

p/s: Mahu tahu siapakah Farah yang aku ceritakan kat atas tadi? Kau tahu beza antara marah dan benci? Pernah kau dengar tentang cerita dinding, paku dan penukul besi?

Semua itu aku tuliskan dalam entri yang akan datang. Esok atau pun lusa, aku belum pasti. Yang pasti, kau mesti setia dengan hairul.net ;)

“Realiti Kita Nyata Berbeza.”

# Gandakan lagi kenikmatan tuan di Galeri Ghairah!