Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu, Rasulullah sallallahualaihiwasallam bersabda,

“Pada suatu ketika ada seseorang berjalan di suatu jalan. Dia melihat duri, lalu dibuangkannya. Tuhan memberinya pahala dan ampunan.”

Subhanallah, daripada sekecil-kecil kebaikan yang kita lakukan, Allah tetap memberikan pahala dan keampunan kepada kita.

Kita belum mampu untuk mengubah dunia, tetapi kita tahu bahawa kita boleh mengubah diri kita sendiri. Dan perubahan itu kita mulakan daripada perkara yang kecil dan mudah.

Jika kita mahu mengubah dunia, maka kita perlu bermula dengan mengubah diri kita sendiri. Seandainya kita mahu menulis mahakarya yang lestari, sewajarnya kita boleh bermula dengan menulis di blog sendiri.

Saya menulis untuk membuang sisa-sisa jahiliyah yang ada dalam diri saya. Duri-duri jahiliyah itu menusuk hati dan merosakkan pemikiran kita.

Bermula dengan membuang duri di jalanan untuk mengelakkan orang lain terpijak, banyak lagi kebaikan yang boleh kita lakukan. Bermula dengan menulis sebagai peringatan untuk diri sendiri, saya amat mengharapkan agar penulisan saya ada manfaatnya untuk orang lain juga. Sebab itulah saya menulis.

Dalam keasyikan kita menulis, Allah memberikan amaran dan peringatan kepada kita,

“Wahai orang yang beriman. Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya.”

Surah as-Saff, ayat yang ke-2 dan ke-3.

Sesungguhnya, ayat-ayat ini menjadi amaran dan peringatan untuk diri kita. Insya Allah, semoga kita mampu mengamalkan apa yang kita tulis.

Saya masih berusaha untuk mengubah diri saya supaya menjadi mukmin yang hebat dan profesional, maka tulisan ini adalah langkah pertama untuk mengubah diri dan seterusnya menggoncangkan dunia.

Dan peringatan daripada Allah bersambung lagi dalam ayat yang ke-3,

“Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang berperang di jalannya, dalam barisan yang seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

Dengan izin Allah, kita mampu menulis dan dengan izin Allah juga, sesiapa yang ikhlas dalam perjuangan Islam akan mampu menguasai dunia. Lembaran sirah telah mencatatkan, Rasulullah dengan bantuan dan sokongan para sahabat akhirnya berjaya mendaulatkan Islam dengan terbinanya negara Islam Madinah dan seterusnya menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Sesiapa yang mengikut cara Rasulullah pasti tidak akan rugi.

Berpandukan kepada ayat di atas, jelaslah kita perlu berjuang secara berjemaah dengan pasukan yang kuat dan tersusun.

Saya mahu berjuang dengan cara menulis, maka saya perlu mencari guru yang faqih, menyertai syarikat penerbitan yang utuh dan melahirkan lebih ramai para karyawan Islam. Para pembaca dan para karyawan adalah sahabat dan aset perjuangan.

Saya mahu menjadi penulis dan editor. Semoga Allah memberikan petunjuk dan mempermudahkan segala urusan saya. Semoga Allah juga memberikan kejayaan buat sahabat-sahabat saya yang berjuang dalam bidang yang berbeza. Lapangan dakwah kita berbeza, tetapi kita sama-sama mencari keredhaan Allah.

Semoga Allah meredhai kita semua.

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."

Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.