Ditulis oleh Hairul Faizal Adli.
Ditulis oleh Hairul Faizal Adli.
Dapat Pujian Di Dunia, Dapat Syurga Di Akhirat
Pujilah, pujilah, pujilah, dan kemudian barulah tegur. 3 kali puji, barulah tegur.
Pujian itu adalah kegembiraan dan ganjaran pertama di dunia untuk segala kebaikan yang kita lakukan. Di akhirat pula, tiada yang lebih utama untuk kebaikan kita melainkan keredhaan Allah dan kita dimasukkan dalam syurganya. Buatlah kebaikan, dapat pujian di dunia, dapat pula syurga di akhirat.
Memuji orang di sekeliling kita adalah sunnah Rasulullah. Beliau banyak memuji sahabat-sahabatnya. Sebagai contoh, beliau pernah memuji Abu Zar,
“Takkanlah lagi dijumpai di bawah langit ini, orang yang lebih benar kata-katanya daripada Abu Zar.”
Nabi Muhammad juga pernah memuji Khalid bin al-Walid,
“Tuan adalah Pedang Allah, antara sekian banyak pedang-pedangnya.”
Pujilah, pujilah, pujilah, dan kemudian barulah tegur.
Sudah sekian banyak sunnah Rasulullah yang kita ikut, tetapi payah benar mulut kita ini untuk memuji orang-orang di sekeliling kita. Kalau tidak mahu memuji, jangan pula kita mengeji. Mudah sahaja prinsipnya.
Diam tanpa memuji, itu satu kerugian.
Diam tanpa mengeji, itu tindakan terpuji.
Bercakap dan mengeji, itu perangai ahli neraka.
Kata-kata itu doa, pujian itu juga adalah doa dan ingatlah bahawa kejian itu pula adalah dosa.
Kalau Selalu Puji, Nanti Jadi Riak
“Jangan puji lebih-lebih, nanti dia jadi riak.”
Itulah ingatan biasa yang kita selalu dengar. Sudahlah kita tidak pernah memberikan sebarang pujian, pandai-pandai pula kita mahu menilai hati seseorang. Mahu menentukan seseorang itu riak ataupun tidak, itu adalah kerja tuhan, bukannya kerja kita, manusia yang lemah.
Sepatutnya, ingatan itu adalah untuk diri kita sendiri.
“Jangan puji lebih-lebih, nanti aku puji dia kerana aku mahukan sesuatu daripadanya.”
Pujilah dan doakanlah orang-orang di sekeliling kita dengan ikhlas.
Cara Memuji
Puji-pujian paling berkesan jika kita memuji seseorang secara spesifik, bukan secara umum.
Misalnya, apabila adik kita menunjukkan sebuah lukisan yang dihasilkannya kepada kita, tidak cukup dengan berkata,
“Wah, cantiknya lukisan adik.”.
Ini adalah pujian yang umum. Kita pujilah secara spesifik, terangkan apa yang cantik pada lukisan adik kita itu.
“Wah, cantiknya lukisan adik. Warna pun lawa. Cantik pokok yang adik lukis dalam gambar ini.”.
Apabila kita memuji secara spesifik maka orang yang dipuji itu tahu bahawa kita sememangnya memberikan perhatian terhadap apa yang mereka tunjukkan. Mereka juga sedar bahawa puji-pujian tersebut bukan sekadar untuk mengambil hati.
Lepas Memuji Terus Mengeji
Inilah kesilapan kita yang paling kritikal. Puji sedikit, mengejinya yang lebih. Sindiran yang sinis dan tajam terus sahaja menghapuskan pujian di awalnya.
“Baguslah kamu sudah sembahyang. Selama ini kamu tak sembahyang, kan. Kita orang Islam, kena sembahyang selalu, bukannya ketika ada masalah sahaja. Kalau sembahyang jarang-jarang, Allah pun tak nak tolong kita.”
Hormatilah mereka, jangan mematikan mereka. Bukan tazkirah namanya, kalau orang itu semakin parah dan menimbulkan marah. Tazkirah itu bukanlah untuk menyampaikan kebenaran semata-mata, walaupun pahit.
Tazkirah itu memerlukan seni, seni menawan emosi dan menarik perhatian orang yang menjadi target. Usah pertikaikan perkara ini, jika kita sendiri belum pernah berusaha untuk mempelajarinya.
Antara Si Pemuji Dan Orang Yang Dipuji
Untuk si pemuji, pujilah, pujilah dan teruskanlah memuji seseorang. Usah difikirkan tentang puji ataupun ampu, kerana diri kita sendiri lebih tahu apabila kita mahu mengampu. Kita memuji seseorang untuk mendapatkan keredhaan Allah, bukannya memuji untuk mendapatkan sesuatu daripada orang yang kita puji.
Orang yang dipuji pula, syukurlah, syukurlah, syukurlah kepada Allah dan aminkanlah pujian yang baik-baik itu. Jika kebaikan atau apa-apa sahaja yang kita lakukan itu hanyalah semata-mata kerana Allah, maka pujian itu sememangnya layak untuk diterima.
Ditanya kepada Nabi sallallahualaihiwasallam berkenaan seseorang yang berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya.
Jawab baginda,
“Itulah ganjaran gembira yang didahulukan buat para mukmin.”
- Hadis riwayat Muslim.
Semoga kita semua dijauhkan oleh Allah daripada racun hati dan riak yang ditabur oleh syaitan yang sentiasa bekerja keras untuk menyesatkan kita atau menjadikan kita kufur kepada Allah.
Bagi sesiapa yang telah berjaya mengikhlaskan hatinya, tiba-tiba dipuja dan puji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan niatnya yang ikhlas kepada Allah.
Kita berbuat kebaikan kerana Allah, bukannya kerana mengharapkan pujian.
Ibn Qayyim pernah berkata,
“Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantung dengan kerikil dan pasir. Memberatkan kantung tapi tidak bermanfaat.”
Kuncinya adalah ikhlas.
Pujilah dengan ikhlas, pujilah dengan ikhlas dan buatlah sesuatu kebaikan dengan ikhlas, semata-mata kerana Allah.
Rujukan artikel:
1) Puan Ainon Mohd
2) Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
3) Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."
Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.
« Kecil Tetapi Gempak, Kecil Tetapi Besar Impaknya Entri seterusnya:
BODOH. Mati Dengan Iluminati, Serasi Dengan Konspirasi »
