“Tiada yang lebih indah pada musim sejuk, melainkan berada di dalam futon dan tidur dengan sepuas-puasnya.”

Alahai, cabaran pada musim sejuk memang besar. Bukan calang-calang samurai yang dapat menghadapinya. Suhu turun mendadak dan prestasi kita juga menurun sama.

Makan, tidur dan bermalas-malasan; hanya itulah yang paling seronok untuk dibuat pada musim sejuk. Belajar dan beribadah hanya ada di hujung senarai.

Patutlah ada istilah otak beku, satu istilah yang ditujukan kepada orang yang dianggap bodoh. Apabila musim sejuk begini, semangat untuk belajar memang tiada. Kadang-kadang terasa juga yang otak ini tidak dapat berfungsi dengan baik semasa musim sejuk. Ada lojiknya juga istilah otak beku ini.

Ada kelas pada awal pagi memang silap besar.

Musim sejuk datang ketika semester kedua pembelajaran. Ada kelas seawal jam sembilan pagi, adalah satu kesilapan besar yang saya lakukan. Terasa silap benar kerana tidak mengambil subjek sebanyak yang mungkin semasa semester pertama dahulu. Tidak saya sangka, perjuangan untuk menuju ke universiti pada musim sejuk teramatlah mencabar.

Suhu jatuh menjunam dan iman kita pun sama-sama jatuh menjunam.

Suhu hanya turun mencecah 8 darjah Celsius, iman kita sudahpun menjunam ke paras negatif.

Musim-musim sejuk begini, payah sekali untuk kita bangun sembahyang Subuh. Kita selalu tewas dalam dakapan hangat selimut dan futon yang tebal. Kalau bangun pun, kena ambil air sembahyang pula. Satu lagi cabaran yang besar.

Aduh, air panas sudah ada tetapi kita masih liat untuk bangun sembahyang.

Hukum khuf juga telah tersedia. Tidak payah menanggalkan stokin untuk mengambil air sembahyang, cukuplah dengan menyapu sedikit air pada stokin. Alahai, itupun kita malas lagi.

Kalau pun bangun sembahyang Subuh, kita buat sembahyang subuh ekspres. Kita sembahyang cepat-cepat dan terus masuk semula ke dalam selimut.

Waktu Subuh pun awal sangat, pukul lima sudah masuk waktu. Terasa rugi sangat-sangat kerana waktu tidur kita telah terjejas. Semoga Allah mengampunkan kita.

Berat sungguh ujian Allah pada musim sejuk ini. Semoga kita dikurniakan dengan kekuatan dan keimanan yang teguh untuk menghadapi cabaran di musim sejuk ini.

“Hanya semangat dan azam yang berkobar-kobar sahaja yang dapat menghangatkan suasana. Hanya darjah keimanan yang tinggi yang dapat melawan rendahnya suhu.”

Ayuh para samurai Islam sekalian, kita teruskan perjuangan kita biarpun pada musim sejuk.

Hairul Faizal Adli Bin Ab Ghani
Hairul Faizal Adli Bin Ab Ghani
19/11/2009


Satu Entri, Satu Buku.

Abu Bakar: Sahabat Sejati

Walaupun Khalifah Abu Bakar As Siddiq memerintah selama dua tahun tiga bulan sepuluh hari sahaja namun berjaya menundukkan mereka yang murtad, enggan membayar zakat dan yang mengaku menjadi nabi.

Selepas berjaya mengatasi masalah dalaman maka beliau menumpukan perhatian pada kerajaan Rom dan Parsi yang sekian lama mengancam umat Islam.

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq mentadbir Negara Islam dengan membahagikannya kepada beberapa bahagian antaranya Mekah, Taif, Sana’a, Hadramaut, Halwan, Rima’, Hajran, Jash, dan Bahrain.

Beliau melantik wakil-wakil pada setiap bahagian tertsebut. Mereka menjadi imam, pentadbir, menjalankan keadilan, menyelesaikan perselisihan, dan sebagainya.

Lebih banyak lagi cerita-cerita yang istimewa berkenaan Abu Bakar yang dipersembahkan dengan gaya cerita yang amat menyegarkan di dalam buku ini.

Abu Bakar: Sahabat Sejati

# Gandakan lagi kenikmatan tuan di Galeri Ghairah!