Sepasang mata yang berwarna kuning semula jadi tanpa sentuhan contact lens, bersinar-sinar terkena pantulan matahari. Angin bertiup laju dan belukar di sekeliling hutan bergoyang-goyang. Umpama pembunuh upahan profesional, tubuhnya langsung tidak bergerak, hanya bulu-bulu halus pada kulit celoreng hitam oren sahaja yang menari-nari. Ekornya juga bergerak-gerak perlahan.

Itulah dia seekor harimau yang sedang menunggu untuk membaham mangsa.

harimau

Tiba-tiba, muncul seekor arnab besar di sebalik belukar. Arnab itu melompat-lompat.

Harimau bermonolog seekor diri.

“Oh, sukanya kamu melompat-lompat ye si arnab. Lompatlah puas-puas. Sekejap lagi nyawa kamu akan melayang.”

Habis sahaja ayat itu diucapkan, otot-otot tubuh dan kaki harimau mula mengendur. Badannya menurun ke bawah dan tidak sampai satu saat, harimau sudah menyerbu keluar dari belukar itu.

Arnab terkejut dan segera berpaling. Mulutnya terus menjerit,

“Argh, harimau.”

Tidak sempat langsung untuk arnab itu mengurut dada kerana terkejut, dia terus berlari untuk menyelamatkan diri.

Adegan kejar-mengejar terus berlaku. Harimau dan arnab menumpukan perhatian hanya untuk berlari. Tiada lagi dialog yang dapat diucapkan. Hanya dengus nafas yang kedengaran.

Di hadapan arnab sekarang, ada sebuah busut kecil dan ada lubang pada bahagian bawahnya.

Arnab berlari dan terus berlari. Harimau pula mengejar dan terus mengejar. Arnab melompat dan menjerit,

“Iyarghhhhhh.”

Badannya melayang dan terus masuk ke dalam lubang kecil itu.

Harimau pula tidak sempat untuk brek kecemasan. Mukanya terus menghentam busut itu.

“Adoi.”

Harimau bangun dan merenung tajam ke arah lubang itu.

“Jaga kau arnab. Kalau jumpa lagi, matilah kau.”

Harimau kemudian berjalan perlahan-lahan meninggalkan tempat itu. Mulutnya mengomel-ngomel perlahan.

“Alah, setakat arnab sahaja. Bukannya kenyang sangat. Lepas ini, aku mahu baham rusa pula.”

Harimau berlalu pergi untuk mencari mangsa yang seterusnya.

Arnab keluar dari lubang dan mengucapkan syukur,

“Fuh, aku berterima kasih kepada tuhan. Hari ini, aku masih dapat untuk meneruskan hidup.”

Arnab pun melompat-lompat perlahan dan berlalu pergi dari tempat itu untuk meneruskan hidupnya.

Tamatlah kisah seekor arnab yang dikejar oleh seekor harimau. Arnab terselamat dan harimau terlepas hidangan istimewanya pada hari itu.

Bagaimana arnab boleh terselamat, ye? Laju sangatkah arnab berlari?

Arnab tahu, dia pasti akan mati kalau dibaham oleh harimau. Oleh sebab itu, arnab berlari dan terus berlari untuk menyelamatlan diri. Dia tiada pilihan lain lagi. Kalau arnab mati, maka habislah segala-galanya. Anak-anak dan keluarga akan kehilangan dirinya. Maka arnab tiada pilihan lain selain berlari selaju yang mungkin untuk menyelamatkan nyawanya. Arnab perlu meneruskan hidup.

Harimau pula lain keadaannya. Dia hanya mahu mencari makan. Arnab, rusa atau pun lembu, harimau tidak pernah kisah. Jika arnab sudah terlepas, harimau masih boleh mencari rusa untuk dibaham.

Arnab berlari untuk menyelamatkan nyawa, tetapi harimau mengejar arnab hanya untuk mencari makan. Keadaan arnab lebih mendesak dan keinginannya untuk terus hidup adalah lebih tinggi. Oleh sebab itulah arnab terselamat.

Bagimana pula dengan diri kita, ye?

Kita bekerja sekadar untuk mencari makan, atau bekerja untuk meneruskan hidup? Gagal satu pekerjaan, boleh tukar pekerjaan lain, kan? Bolehkah pemikiran sebegitu ada dalam diri kita?

Andai kita dikejar bahaya yang mahu membaham kita seperti harimau, maka berlarilah kita dengan sekuat-kuat hati untuk meneruskan hidup. Jika ada keinginan untuk terus hidup yang tinggi, kita akan pasti akan terselamat.

Jika ada bom, bagaimana pula?

Larilah jauh-jauh sebelum bom meletup, tetapi bertaubatlah cepat-cepat sebelum pintu taubat tertutup.

- Hairul Faizal Adli Bin Ab Ghani

19/10/2009