Bas Dataran Pintar. Banyak memori kita bersamanya.
Bas Dataran Pintar. Banyak memori kita bersamanya.

Sebuah bas yang berwarna ungu bergerak perlahan-lahan. Sampai sahaja di depan pintu pagar UNISEL, bas itu terus berhenti.Pintu bas itu terbuka dan berbunyi perlahan-lahan.

“Shhhhhhzzzzzz………”

Belum pun sempat pintu itu terbuka dengan sepenuhnya, adegan ganas telah pun berlaku. Tolak-menolak, tarik-menarik dan jerit-menjerit. Semua orang berhempas pulas dan berebut-rebut untuk menaiki bas.

Pakcik Tahir tersenyum sahaja.

Pakcik Tahir kesayangan kita. Penuh macho, penuh bergaya. =)
Pakcik Tahir kesayangan kita. Penuh macho, penuh bergaya. =)

(Koleksi Gambar Cerah Jeff.)

“Macam-macam la korang ni.”

Dalam seminit dua sahaja, bas terus padat. Semua orang berebut-rebut mahu menaiki bas. Ada lagi beberapa orang yang masih berada di tangga bas, sedang  membuat-buat muka sedih, memohon simpati Pakcik Tahir barangkali.

Pakcik Tahir melihat ke belakang dan terus menjerit.

“Dalam, dalam, dalam. Masuk dalam lagi. Lagi dalam lagi best. Hahaha.”

Oh, rindunya aku pada suasana dulu. Dulu, kita sama-sama belajar dalam kelas. Kalau bosan, kita sama-sama tidur. Waktu rehat pula, kita sama-sama menuju ke Restoren Sederhana.

Keluar sahaja daripada kelas, kita terus menuju ke arah bas dan sama-sama berebut. Oh, sebelum itu singgah beli keropok dengan goreng pisang dulu.

Tapi, itu dulu. Dulu lain, sekarang lain.

Pakcik Tahir dan basnya tetap ada di Malaysia. Kita pula ke Jepun meninggalkan Pakcik Tahir buat seketika, tapi Pakcik Tahir tetap ditemani dengan kouhai-kouhai. Best la tu Pakcik Tahir, dapat kouhai-kouhai cun.  ;)

Sekarang kita berada di Jepun. Aku di Tokyo Kouka, korang pula bertebaran di merata-rata tempat.

Tokyo University of Technology, tempat aku belajar.
Tokyo University of Technology, tempat aku belajar.

Naik tren aku kena beratur, naik bas pun aku kena beratur. Duduk dalam tren,aku main iPhone. Duduk dalam bas, aku main iPhone. Kadang-kadang, aku jeling juga dekat awek-awek Jepun tu.

Sekarang, tiada lagi teka-teki misteri dari Pakcik Tahir, tiada lagi suara korang yang tergelak-gelak sebab ada orang buat point.

Kosong. Kosong. Kosong.

Suasana itu sudah tiada, tetapi tetap segar dan tetap hidup dalam memori aku. Aku rindukannya.

Hiburan dan bersuka ria gaya Malaysia sudah berkurangan. Sekarang, semuanya gaya Jepun. Bukannya hiburan tetapi cabaran gaya Jepun.

Bangun pagi-pagi, aku kayuh basikal. Masa turun bukit aku tersenyum. Masa naik bukit, lelah aku dibuatnya. Basikal aku tiada gear la.

Naik basikal je kat Jepun ni.
Naik basikal je kat Jepun ni.

Sampai dekat stesen keretapi, berkejar-kejar pula untuk menaiki tren. Orang Jepun ini tidak reti berjalan perlahan-lahan. Kadang-kadang nampak menggelabah sangat, nasib baik jarang ada yang rebah.

Lepas itu, aku kena naik bas pula. Fuh, cabarannya bukan kepalang. Kalau tersilap bajet masa, kena beratur sampai 200 meter lebih baru boleh naik bas. Itu cabaran biasa.

Dalam kelas, cabarannya lebih besar dan lebih mendera minda.

“Adoi.”

Nasib baik korang pun sama-sama belajar di Jepun. Tentu korang memahaminya.Kita memang senasib, hanya cabarannya berbeza-beza.

Isk, ini bukan masanya untuk kita mengeluh dan bukan masanya untuk kita berduka lara.

Datangnya kita ke Jepun dengan membawa amanah , menjunjung harapan dan memikul tanggungjawab. Ibu,ayah,keluarga,rakyat Malaysia dan umat Islam. Merekalah yang menghantar kita untuk berjuang sebagai samurai Islam di bumi sakura.

Kita ini orang yang sedang berjuang, putus asa bukan bahasa kita. Kita ini orang yang hebat, biasa-biasa itu bukan taraf kita. Kita ini orang yang terpilih, main-main itu bukan perangai kita.

Kadang-kadang stress, kadang-kadang sepi. Itu hanya cabaran. Jarang-jarang terasa bosan, sibuk pula berhari-hari. Itu hanya dugaan.

Exam hampir dekat, doakanlah hanya yang terbaik untuk kita semua.Di Jepun atau pun di Malaysia, Tuhan kita tetap ada bersama-sama kita. Dalam bahasa Melayu atau pun Jepun, doa kita tetap diterima olehnya.

“Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami, berikanlah kejayaan yang cemerlang kepada kami.Ampunilah dosa kami.Amin ya rabbal a’lamin.”

Yosh, ganbare!

- Hairul Faizal Adli Bin Ab Ghani
23/6/2009