Ditulis oleh Hairul Faizal Adli.
Ditulis oleh Hairul Faizal Adli.
Teka-teki Di Bulan Ramadhan
Berbuka puasa di Masjid al-Tawheed Hachiouji memang meriah. Meriah dengan makanan yang sedap dan meriah dengan suasana yang mengeratkan ukhuwah sesama Islam.
Pengalaman berbuka puasa di situ sememangnya indah untuk dikenang.
Pengalaman 1:
Pentingnya sistematik dan disiplin dalam kehidupan.
Ketika ada jemaah yang mula menyerbu makanan, pegawai kedutaan Arab Saudi yang menguruskan program memberikan ingatan kepada kami,
“Please take the food in muslim way. The muslim way is we take the food one by one.”
Para jemaah mula beratur. Pegawai berkenaan memberikan galakan
“Now, we know the secret, please enjoy yourself.”
Pengalaman 2:
Yang banyak sama dinikmati, yang sedikit sama dikongsi
Ada rakan kita yang sampai agak lewat dan makanan yang disediakan hanya tinggal sedikit sahaja lagi. Kita renungkanlah hadis nabi ini,
“Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun dengan setengah belahan buah kurma. Jagalah diri kamu dari api neraka walaupun dengan seteguk air. Sesungguhnya Allah subhanahuwataala tetap memberi pahala kepada orang yang beramal walaupun sedikit amalnya, jika ia benar-benar tidak mampu melakukan lebih daripada itu.”
Roti nan masih berbaki, cuma karinya yang hampir habis. Kari yang ada dapatlah kita kongsikan dengan rakan kita yang terlewat tadi. Ada juga yang menghulurkan kuih untuk sama-sama dinikmati oleh rakan kita tadi.
Pengalaman 3:
Bertemu dan berpisah kerana Allah
Kalau tiada jamuan iftar yang disediakan, kelibat kami yang nakal-nakal ini pastinya tidak akan kelihatan di masjid. Atas asbab jamuan ini, kami tiba jua di rumah Allah.
Selesai berbuka puasa, kami dihimpunkan dalam halaqah. Kami berkenal-kenalan antara satu sama lain. Unik sungguh kepelbagaian insan ini. Ada yang masih belajar, ada yang berurusan bisnes dan ada yang bekerja di bumi Jepun.
Satu soalan teka-teki yang mencabar kegeniusan para bakal jurutera telah dilontarkan oleh pihak penganjur. Penat kami memeras otak dalam keadaan perut masih kekenyangan, namun jawapan yang dikehendaki tidak muncul-muncul jua. Terpaksalah pihak penganjur memberikan jawapan kepada kami.
Malam itu, kami berkenal-kenalan dan sesudah habis tarawih, semuanya berpisah membawa diri masing-masing. Esok kalau berjumpa lagi, entah ingat entah tidak. Apa-apapun, hati kami telah diikat dengan ukhwah fillah.
Walaupun kita semua berbeza-beza, kita tetap mempunyai satu matlamat yang sama. Kita semua mahu masuk ke syurga Allah.
* Teka-teki yang diberikan adalah berstatus sulit dan rahsia. Mahu tahu? Jemputlah datang ke Masjid Hachiouji pada setiap hari Ahad, ada jamuan iftar yang disediakan. Mahu datang ke masjid pada setiap hari amatlah digalakkan.
Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."
Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.
« Islam Bukan Untuk Orang Melayu Sahaja. Entri seterusnya:
Ramadhan Bersama Facebook »
