“Ramai tak semestinya damai. Banyak tak semestinya tak boleh dilanyak. Ibarat buih di lautan, banyak sekali, tetapi begitu mudah untuk pecah, walaupun sekadar diacah.”

Umat Islam semakin berpecah belah, selalu sahaja berbalah dan tiada sesiapa pun yang mahu mengalah. Masing-masing fanatik dan taksub dengan fahaman masing-masing. Akidah tetap sama, semuanya percayakan Allah. Tapi, hati-hati manusia, masih belum dapat disatukan.

Setiap orang sentiasa menganggap, hanya diri merekalah yang terbaik. Orang lain semuanya salah. Orang lain semuanya rosak.

Siapa Yang Rosak?

Renungkanlah peringatan Rasulullah ini:

“Barangsiapa yang menyebut bahawa manusia semuanya sudah rosak, maka dia itulah yang paling rosak di kalangan mereka.”

Hadith Riwayat Muslim.

Menyebut kerosakan ini dengan rasa unggul diri adalah kecelaan.

Menyebut kerosakan ini dengan rasa putus asa juga adalah kecelaan.

Menyebut kerosakan ini dengan memandang hina kepada orang ramai adalah kecelaan.

Maka, ambillah iktibar daripada hadis ini, untuk kita saling bersangka baik dan sama-sama memperbaiki kesilapan masing-masing. Kerosakan yang berlaku di dunia akhir zaman ini, akan menjadi lebih parah, bahkan boleh menumpahkan darah, jika kita saling menyalahkan antara satu sama lain. Perpecahan yang berlaku akan memburukkan lagi keadaan.

Berpadu Itu Madu, Sungguh Manis Sekali

Kita adalah manusia. Setiap manusia adalah berbeza. Perbezaan itu menjadikan kita unik, tetapi tidak menjadikan kita berpecah belah. Terima dan hargailah perbezaan antara kita semua, dan kita perlu sama-sama mencari titik persamaan. Kita mesti bersatu padu.

Ramai tak semestinya damai. Banyak tak semestinya tak boleh dilanyak. Ibarat buih di lautan, banyak sekali, tetapi begitu mudah untuk pecah, walaupun sekadar diacah.

Umat Islam ibarat buih-buih di lautan kerana berpecah belah, tetapi, kalau kita bersatu padu, ianya boleh menjadi tsunami yang besar, melanda ke seluruh dunia. Tsunami Islam membawa barakah, bukannya bala bencana. Tsunami Islam inilah yang akan mengubah dunia ke arah kebaikan, dengan kebaikan dan dalam kebaikan.

Mampukah Umat Islam Bersatu-padu?

Mari kita sama-sama merenungi dan menginsafi kata-kata Rasululullah ini.

‘Amir bin Said dari bapanya berkata bahawa :

“Suatu hari, Rasulullah telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah sampai di masjid Bani Mu’awiyah lalu beliau masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah. Kemudian Rasulullah berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah:

Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud :

“Aku telah bermohon kepada Allah tiga perkara. Dalam tiga perkara itu Allah cuma memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi telah ditolak.

1. “Aku telah bermohon kepada Allah supaya ia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan. Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah.”

2. “Aku telah bermohon kepada Allah supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah.”

3. “Aku telah bermohon kepada Allah supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam). Tetapi permohonanku telah ditolak oleh Allah.”

Doa seorang nabi dan juga seorang kekasih Allah telah pun ditolak. Maka, sudah tertutupkah peluang untuk kita bersatu padu?

Allah itu maha pengasih, lagi maha penyayang. Rahmat Allah melebihi kemurkaannya. Jangan sesekali kita berputus asa dengan rahmat Allah. Marilah kita berdoa tanpa jemu, memohon keampunan daripadanya, dan semoga seluruh umat Islam dapat hidup bersatu padu.

“Ya Allah. Satukanlah hati-hati kami ke arah kebaikan, dengan kebaikan dan dalam kebaikan.”

“Mari kita bersatu-padu.”

22/01/2009 @ hairul.net

Gandakan lagi kenikmatan tuan dengan entri berikut:

  1. Panjang Umur Kerana Membaca "Ada buku yang membawa saya mengembara ribuan kilometer untuk mencarinya."...