Saya tidak tahu melukis, maka saya gambarkan sesuatu menerusi tulisan. Saya tidak tahu bermain muzik, maka saya berhibur dengan tarian pena. Saya tidak tahu bersilat, maka saya berpencak dengan menaip papan kekunci.

Ya, kita berjuang dengan apa yang kita tahu dan kita menjadikan dunia ini lebih baik dengan kemahiran kita. Lain orang, lain kehebatannya. Kenali diri, asah bakat dan latihlah kemahiran kita. Lahir dengan bakat tertentu adalah anugerah, sedangkan orang yang hebat adalah orang yang kenal dirinya dan melatih dirinya dengan bakat tertentu.

Banyak perkara yang saya tidak tahu, tetapi saya sangat tahu menulis. Saya suka menulis. Saya hidup dengan menulis, saya berjuang dengan menulis dan saya tahu, dengan menulis, saya mampu mengubah dunia.

Kalau tuan hebat berbisnes, kuasailah dunia dengan daya keusahawanan tuan dan gegarkanlah dunia korporat dengan aura tuan. Kalau tuan bisa berpolitik, warnailah dunia politik dengan keadilan dan ketokohan tuan. Jangan biarkan urusan di dunia ini diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya. Kita tidak rela diperintah dan dinaungi oleh manusia yang menjadikan nafsu dan syaitan sebagai mazhab panduannya.

Saya cintakan dunia penulisan dan buku, seperti seorang ibu yang cintakan anak-anaknya dan seperti seorang kekasih yang cintakan pasangannya.

Cintailah apa yang kita buat, dan duit akan datang kepada kita. Bukan sahaja duit, bahkan segala kenikmatan dunia akan menjadi milik kita. Kalau kita buat apa yang kita suka, cabaran akan jadi hiburan dan masalah menjadi mainan kita. Kita pasti gembira dengan apa yang kita suka. Ya, buatlah apa yang kita suka.

Saya baca, saya buat dan saya sebar. Saya baca, baca, baca dan kemudian baru saya menulis. Saya tulis, saya buat dan saya sebar.

Kembangkan kemahiran kita dan wariskanlah segala ilmu kita kepada masyarakat. Tidak berkurangan ilmu yang dikongsi, bahkan semakin bertambah-tambah pula. Dan ilmu itulah yang menjadi rangkaian pahala buat membela kita di akhirat kelak.  Sebar-sebarkanlah ilmu, dan sabarlah menghadapi kerenah masyarakat.

Luar ataupun dalam,
Timbul ataupun tenggelam,
Cerah ataupun kelam,
Siang ataupun malam,
Sebarkanlah Islam ke seluruh alam.

Itulah tujuan saya menulis. Saya mahu menyampaikan Islam dan mahu berjuang untuk kemenangan Islam.

Tahukah kita, ada satu buku yang dapat mengajar kita tentang segala-galanya? Dan ketahuilah bahawa buku itu adalah quran. Quran pula mengajar kita untuk membaca.

“Iqra. Bacalah.”

Maka wajiblah ke atas kita untuk membaca, menambahkan ilmu dan memikirkan kehebatan Allah, tuhan sekalian alam.

Baca, baca, baca dan kemudian baru menulis.

Tidak akan wujud satu pun tamadun di dunia ini tanpa wujudnya tulisan. Untuk tamadun Islam, kita memerlukan tulisan yang bukan sahaja indah, tetapi penuh dengan ilmu dan hikmah untuk memandaikan bangsa.

Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita dan mudah-mudahan kita beroleh keredhaan Allah.

Hairul Faizal Adli Bin Abdul Ghani

"Sebarkanlah Islam ke seluruh alam, tidak kira siang atau pun malam."

Jom, mari kita sama-sama nikmati dan hayati entri-entri yang akan datang. Klik di sini untuk melanggan RSS feed lengkap hairul dot net sekarang juga.